Skip to main content

vcc

Langkah-langkah Memastikan Pengambilan Ubat yang Selamat

Oleh: Dr Mohd Izham Mohd Ibrahim

sudut idpis

Selain daripada kebaikan, ubat-ubat yang dihasilkan di kilang-kilang farmaseutikal juga boleh mendatangkan kesan sampingan kepada pengguna. Walaupun para saintis telah cuba memaksimakan kesan baik dan meminimakan kesan buruk ubat dengan mengubah struktur kimia ubat, namun mereka masih belum berjaya menghasilkan suatu ubat yang benar-benar bebas dari kesan sampingan. Adalah dianggarkan bahawa sebanyak 10% insiden kesan sampingan ubat akan berlaku daripada pengambilan sesuatu ubat. Oleh itu peraturan seperti "Ubat yang betul untuk pesakit yang betul dalam dos yang betul melalui saluran yang betul pada masa yang betul" telah diambilkira oleh doktor semasa membuat keputusan untuk mempreskripsikan ubat kepada seseorang pesakit.

Garispanduan penggunaan ubat yang selamat dan berkesan

Garispanduan ini menerangkan perkara-perkara yang harus dititikberatkan semasa mengambil ubat, samada ubat-ubat preskripsi ataupun tanpa preskripsi. Apabila mengambil ubat, pengamal-pengamal perubatan bersetuju bahawa adalah penting untuk memberi perhati an kepada keperluan kesihatan seseorang pesakit. Oleh itu, maklumat yang berkaitan dengan ubat-ubatan boleh didapati daripada doktor, ahli farmasi atau pada label ubat. Di bawah ini adalah perkara-perkara yang harus dilakukan semasa mengambil ubat.

ANDA HARUS

  • tahu nama ubat (jenama dan generik) yang sedang diambil.
  • membaca label botol atau sampul ubat sebelum memakan sesuatu ubat
  • mematuhi arahan doktor atau ahli farmasi mengenai jumlah ubat yang harus dimakan, waktu makan ubat dan tempoh untuk menghabiskan ubat tersebut. Sebarang perubahan haruslah mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi.
  • goncang ubat-ubat dalam bentuk larutan (suspensi) untuk memastikan bahan-bahan dalam ubat tersebut dapat diseratakan.
  • menggunakan alat sukatan yang tepat dan standard semasa menyukat ubat cecair. "Sudu teh" yang terdapat di rumah mempunyai saiz yang berbeza-beza.
  • ikut arahan doktor dari segi pemakanan harian semasa memakan ubat kerana terdapat interaksi di antara sesetengah ubat dengan makanan. Interaksi ini boleh menjejaskan keberkesanan ubat.
  • memberitahu doktor anda tentang ubat yang telah dipreskripsikan oleh doktor lain dan ubat yang dibeli di kedai farmasi.
  • memberitahu doktor atau ahli farmasi bahawa anda sedang hamil supaya mereka boleh menyarankan ubat yang selamat untuk anda dan bayi anda.
  • catitkan nama semua ubat-ubat yang diambil (termasuk vaksin) semasa hamil serta tarikh pengambilan dan tujuannya.
  • catitkan nama semua ubat-ubat yang memberi kesan sampingan dan alahan (alergik) kepada anda atau ahli keluarga anda, terutama wargatua dan kanak-kanak.
  • memberitahu doktor dan ahli farmasi mengenai nama ubat-ubat yang memberi kesan sampingan dan alahan (alergik) kepada anda dan ahli keluarga anda.
  • memberitahu doktor anda atau ahli farmasi bahawa anda sedang mengalami kesan sampingan ubat yang sedang diambil.
  • pastikan samada ubat yang sedang diambil selamat untuk memandu kenderaan atau menggunakan peralatan berjentera.
  • pastikan samada makanan atau ubat tertentu harus dielakkan semasa mengambil ubat yang dipreskripsikan oleh doktor.
  • menepati temujanji dengan doktor supaya keberkesanan ubat yang anda ambil dapat dilihat.
  • mendapatkan maklumat dan penjelasan dari doktor dan ahli farmasi mengenai sebarang masalah dan kemusykilan tentang ubat tersebut. Minta maklumat bertulis jika ini dirasakan berguna kelak.
  • buang semua ubat preskripsi selepas tarikh luput. Ini akan menghindarkan penggunaan ubat yang mudah rosak selepas tarikh luputnya.
  • simpan ubat-ubat pada tempat yang sepatutnya atau dalam bekas yang sesuai.
  • simpan ubat-ubat pada tempat yang selamat supaya tidak dapat diambil oleh kanak-kanak. Ini dapat menghindar dari masalah keracunan.

botol