Merawat masalah tekanan semasa mengandung: Apakah Risikonya?
Oleh: Mohamed Izham Mohamed Ibrahim (PhD) & Norlela Maarup (MD)
Masalah tekanan atau depresi telah dilaporkan mengganggu seramai lebih kurang 10% wanita semasa hamil. Risiko gangguan tekanan adalah lebih tinggi dalam tempoh trimester pertama (3 bulan pertama) berbanding dengan tempoh lain. Tempoh ini juga merupakan masa yang paling berisiko terhadap pertumbuhan dan kesihatan janin. Penggunaan sebarang ubat untuk merawat masalah tekanan haruslah dielakkan dalam tempoh ini (trimester pertama). Sebagai alternatif, rawatan tanpa ubat seperti kaunseling ataupun terapi kognitif patut digunakan. Perbincangan dengan pesakit berkenaan kebaikan berbanding dengan risiko penggunaan ubat-ubat mengawal tekanan juga perlu dilakukan.
Secara umumnya dipersetujui, bahawa rawatan perubatan hanya patut diberikan kepada wanita hamil hanya apabila risiko kepada ibu atau janin adalah lebih tinggi jika sesuatu penyakit itu tidak diberikan rawatan perubatan berbanding dengan kesan sampingan sesuatu ubat tersebut.
Dalam menangani masalah tekanan pula, penilaian sama ada seseorang pesakit itu boleh diberi ubat ataupun tidak adalah bergantung kepada risiko yang mungkin berlaku. Jika sekiranya rawatan psikologi tidak mendatangkan kesan dan pesakit berkemungkinan mengambil tindakan yang akan membahayakan dirinya dan janin seperti membunuh diri ataupun sekiranya penyakit tersebut boleh menganggu kesihatan janin serta perhubungan masa depan ibu dan anak, maka pemberian ubat bolehlah dipertimbangkan.
Jenis-jenis ubat untuk merawat masalah tekanan dan kategori risiko semasa hamil boleh di lihat dalam Jadual 1 di bawah.
Sekiranya terapi menggunakan ubat dirasakan perlu, pengamal perubatan sepatutnya mengguna atau menyarankan ubat-ubatan yang telah lama berada dalam pasaran dan juga telah dikenalpasti selamat untuk digunakan. Penggunaan ubat-ubat yang baru diperkenalkan haruslah dielakkan sama sekali. Ini disebabkan penggunaannya yang belum meluas dan dokumentasi mengenai keselamatan masih terbatas. Kemungkinan besar masih banyak lagi kesan sampingan sama ada terhadap janin atau ibu itu sendiri yang belum di kenal pasti. Seorang wanita yang sedang menjalani rawatan masalah tekanan tetapi ingin hamil, haruslah mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling dari pakar perubatan terlebih dahulu bagi menjamin ianya selamat. Dalam kes-kes tertentu, ada kemungkinan wanita tersebut harus memberhentikan pengambilan ubat tersebut sama sekali manakala dalam sesetengah kes, apa yang perlu dilakukan adalah hanya mengurangkan dosnya secara beransur-ansur dengan kebenaran dari doktor.
Jadual 1 Kategori jenis-jenis ubat untuk merawat masalah tekanan
Kategori Risiko | Contoh Ubat |
A = Tiada risiko terhadap janin dan selamat untuk digunakan | Tiada ubat dalam kelas ini |
B = Tiada kesan mudarat yang telah ditunjukkan dalam haiwan | bupropion, fluoxetin, sertralin, maprotilin |
C = Ubat hanya patut diberikan hanya apabila kebaikannya mengatasi risiko buruk terhadap janin | protriptilin, trimipramin, nefazodon, trazodon, fenelzin, tranilsipromin, fluvoxamin, paroxetin, venlafaxin, amoxapin, clomipramin, desipramin, doksepin |
D = Tiada bukti positif risiko terhadap janin manusia; hanya digunakan apabila tiada ubat yang lebih selamat atau ubat lain tidak berkesan | Litium, amitriptilin, imipramin, nortriptilin |
X = kajian menunjukkan kejadian kecacatan terhadap janin; ubat tidak boleh diberikan kepada wanita hamil | Tiada ubat dalam kelas ini |