Panduan Berhenti Merokok
Oleh: Mohamed Isa Abdul Majid PhD.
Sekiranya anda bercadang untuk berhenti merokok, berilah tumpuan kepada panduan yang diberikan di sini sebelum memulakan proses berhenti merokok. Proses berhenti merokok memerlukan perancangan dan juga penentuan masa yang sesuai. Jika ia dirancang dengan betul ia pasti akan membawa kepada kejayaan. Sebagai pedoman, panduan-panduan umum di bawah boleh membantu perokok dalam mendapatkan keazaman yang tinggi seterusnya berjaya untuk membuang tabiat buruk merokok. Alasan untuk berhenti
Banyak alasan diberikan oleh perokok untuk meneruskan tabiat buruk ini. Antara alasan yang sering dilontarkan ialah: merokok merupakan tabiat lama yang telah sebati dengan jiwa, boleh mengurangkan stres dan ketagihan kepada nikotin.
Langkah pertama sebelum anda meneruskan perancangan anda ialah, renungi tabiat merokok anda serta tentukan polanya. Fikirkan tentang masa, tempat, rakan dan perasaan yang menyebabkan anda merokok serta perbuatan yang mendorong anda merokok. Dalam melakukan muhasabah diri, tentukan sebab-sebab perlu anda berhenti dari merokok.
Tetapkan masa untuk anda mula berhenti merokok. Beritahu rakan dan ahli keluarga tentang rancangan anda. Dapatkan bantuan dan sokingan dari rakan dan ahli keluarga.
Terdapat beberapa kaedah untuk membuang tabiat buruk merokok dan ianya bergantung kepada pilihan perokok itu sendiri. Antara kaedah-nya adalah:
Berhenti mendadak
Perokok berhenti daripada mengambil rokok sama sekali seperti yang dilakukan semasa berpuasa. Kaedah ini memerlukan motivasi, ketahanan diri dan kesungguhan yang tinggi.
Berhenti beransur-ansur
Perokok mengurangkan jumlah batang rokok yang dihisap dalam sehari secara beransur-ansur sehingga ketahap tanpa rokok. Namun begitu, disebabkan faktor-faktor persekitaran dan emosi kaedah ini sering mengalami kegagalan.
Menangguh pengambilan
Perokok menangguhkan pengambilan rokok. Sebagai contoh jika kebiasaan-nya menghisap sebatang rokok setiap jam, kurangkan kekerapannya kepada sebatang rokok bagi setiap dua jam. Kaedah penangguhan ini disyorkan agar tidak melebihi tempoh dua minggu untuk memberhentikan tabiat buruk merokok sepenuhnya.
Penggantian nikotin
Nikotin merupakan bahan aktif penyebab ketagihan dalam rokok. Bagi mengurangkan kesan gian, perokok boleh mengambil nikotin dalam bentuk lain seperti koyok atau getah kunyah dan sebagainya.
Apakah yang terjadi bila anda berhenti merokok?
Dua jam selepas berhenti
Nikotin yang menyebabkan ketagihan akan mula dikeluarkan dari badan. Kesan gian akan mula dirasai.
Enam jam selepas berhenti
Denyutan jantung dan tekanan darah akan menurun.
12 jam selepas berhenti
Sistem tubuh mengkumuh kesemua karbon monoksida dari asap rokok. Paru-paru kembali berfungsi dengan lebih efisien. Anda tidak mengalami sesak nafas.
Dua hari selepas berhenti
Deria rasa dan hidu mula kembali normal. Bau rokok dalam nafas, rambut, gigi dan jari mulai hilang.
Seminggu selepas berhenti
Kesan gian atau kemaruk akan hilang.
Dua minggu selepas berhenti
Peredaran darah dalam tubuh akan meningkat. Keyakinan diri untuk mengatasi tabiat merokok juga akan meningkat jika anda dapat bertahan lebih lama dari mengambil sebatang rokok.
Satu hingga sembilan bulan selepas merokok
Diri anda lebih bertenaga. Tidak lagi batuk, kesesakan hidung, letih dan mengalami pernafasan semput.
Setahun selepas berhenti merokok
Risiko untuk mendapat kanser paru-paru dan serangan jantung akan mengurang. Risiko untuk mendapat kedua-dua penyakit ini menyamai orang yang tidak merokok langsung selepas 15 tahun berhenti merokok.
Memulakan amalan berhenti
Setelah tarikh untuk berhenti merokok ditetapkan dan anda bermotivasi tinggi untuk meninggalkan tabiat buruk merokok, buangkan kesemua baki rokok yang masih ada. Simpan tempat abu rokok dan cuci tempat-tempat yang mempunyai kesan bau rokok. Langkah-langkah ini adalah untuk menghilangkan ingatan kepada rokok.
Minum air yang banyak diperingkat permulaan proses. Berhenti meminum kopi atau minuman berkafein kerana kafein akan meningkatkan resah yang akan dialami semasa pengkumuhan nikotin oleh badan.
Latih jari dan mulut dengan perbuatan lain seperti mengunyah gula-gula getah atau memegang pensil atau getah gelang sebagai membuang kebiasaan menghisap rokok.
Mengatasi rasa ketagihan
Pada peringkat awal, perokok akan merasai kesan ketagihan nikotin yang agak teruk. Ketagihan jenis ini dikenali sebagai ketagihan fizikal. Satu lagi jenis ketagihan ialah ketagihan psikologi iaitu apabila perokok merokok bukan disebabkan oleh ketagihan nikotin tetapi hanya disebabkan keseronokan menyala dan menghisap rokok sahaja. Oleh itu, adalah penting untuk mengenalpasti faktor-faktor penyebab seseorang itu merokok bagi memudahkan untuk mengatasinya.
Untuk membuang tabiat buruk merokok memerlukan komitmen yang tinggi serta usaha yang berterusan. Sesetengah perokok hanya berjaya berhenti untuk tempoh sekejap sahaja. Sekiranya ini berlaku kepada anda, janganlah beranggapan anda telah gagal atau merasa kecewa. Teruskan azam dan kuatkan semangat, kejayaan tidak berlaku hanya dengan satu cubaan sahaja.
Selain itu anda juga perlu tahu serba sedikit berkenaan kesan pengurangan nikotin dalam darah terhadap tubuh sebelum berhenti dari merokok. Antara kesan yang akan dialami adalah kesan kemaruk atau gian dan juga kesan pemulihan.
Kesan kemaruk atau gian akan menimbulkan masalah seperti:
- Rasa resah, gelisah, tidak tenteram dan mudah naik berang.
- Kehilangan tumpuan.
- Letih dan lesu.
Kesan pemulihan dari pergantungan diri terhadap nikotin akan mengakibatkan anda mengalami:
- Sakit kepala, pening dan rasa kebas di tangan.
- Batuk dan sakit tekak.
- Rasa lapar berpanjangan.
Selepas berhenti merokok
Tetapkan pendirian untuk tidak akan merokok dan jangan sekali-kali menerima tawaran rokok percuma dari kawan sama ada untuk menjaga hati kawan atau sebagainya. Berterus terang kepada mereka tentang niat anda.
Bila timbul keinginan untuk merokok, tolak keinginan itu dengan sekeras-kerasnya. Jangan fikir “tak apa sebatang sahaja”, kerana disebabkan sebatang itulah yang akan menyebabkan anda kembali menjadi penagih nikotin dan hamba rokok.
Dapatkan ketenangan diri melalui cara lain seperti:
- Melakukan aktiviti pernafasan panjang, senaman atau bersukan.
- Bersiar-siar.
- Melakukan ibadat sembahyang sunat atau zikir.
Kesimpulannya, untuk membuang tabiat buruk merokok seseorang itu perlu mempunyai ketahanan diri dan keazaman yang kuat. Ia juga perlu pengorbanan dan perubahan yang besar dalam diri anda. Sokongan dan galakan dari pada rakan-rakan dan keluarga amat penting di peringkat awal proses. Namun begitu, segala usaha anda itu amat berbaloi kerana kehidupan anda akan berubah kepada cara hidup yang sihat. Risiko untuk anda dan keluarga anda mendapat penyakit kronik yang disebabkan rokok juga berkurangan.