Skip to main content

vcc

Siri Tumbuhan Beracun 7 - Akar Tuba

Oleh: Razak Hj. Lajis & Adenan Jaafar

Seperti yang diketahui umum, hubungan manusia dengan tumbuh-tumbuhan memang telah wujud sejak lama dahulu. Tumbuh-tumbuhan digunakan dalam kehidupan manusia bukan sahaja sebagai sumber makanan yang utama tetapi juga untuk beberapa kegunaan lain. Diantaranya terdapat bahan-bahan yang berasal daripada tumbuh-tumbuhan yang digunakan sebagai sumber membuat pakaian dan tempat kediaman. Daripada hanya menggunakan daun dan kulit kayu sebagai pakaian dan tempat kediaman, manusia mula menggunakan beberapa jenis tumbuhan untuk dimanfaatkan sebagai sumber pakaian dan bahan binaan. Sebahagiannya pula dijadikan sebagai sumber bahan perubatan. Beberapa spesies daripada tumbuh-tumbuhan tersebut dikenalpasti sebagai beracun dan ada diantaranya yang digunakan sebagai ramuan untuk memburu samada untuk membunuh binatang liar yang mengganggu kawasan tanaman ataupun memburu binatang untuk dimakan.

Antara spesies tumbuh-tumbuhan yang diketahui beracun ialah pokok ipoh (Antiaris toxicoria), pokok rengas (Gluta benghas) dan akar tuba (Derris elliptica).

Akar tuba atau di sesetengah tempat dikenali sebagai `tuba'; dan campuran yang mengandungi akar tuba merupakan racun membunuh serangga yang berkesan. Malah ia dikatakan lebih toksik daripada `pyrethrin' iaitu sejenis lagi sebatian racun serangga yang juga terhasil daripada tumbuh-tumbuhan. Akar tuba ini sering digunakan untuk menangkap ikan sebab itu kadang-kala ia dikenali sebagai racun ikan. Cara menggunakannya ialah dengan merendam atau mencampakkan akar tuba yang telah dihancurkan terlebih dahulu ke dalam punca air seperti anak air atau anak sungai. Beberapa ketika kemudian ikan-ikan akan mabuk dan timbul ke atas permukaan air. Derris elliptica atau akar tuba ini tidak dianggap begitu merbahaya kepada haiwan tetapi begitu toksik terhadap ikan.

Bahan Toksik

Tumbuhan ini mudah didapati di kawasan tropika dan merupakan sumber utama 'rotenone'. Rotenone juga dikenali sebagai derrin atau derris. Akar atau rizom tumbuhan daripada spesies ini mengandungi tidak kurang daripada 3% rotenone. Rotenone dan sebatian-sebatian rotenoid yang lain seperti L-alpha-toxicarol adalah sumber utama racun membunuh serangga dan larva. Rotenone bertindak sebagai peng-halang enzim pernafasan, memperlahankan degupan jantung, mengurang-kan penggunaan oksigen dan akhirnya menyebabkan lumpuh.

Rotenone mempunyai kadar penyerapan yang lambat melalui mulut. Sekiranya ditelan, ia boleh menyebabkan gang-guan pada usus, mengakibatkan rasa loya dan muntah-muntah. Ia memberi kesan terhadap sistem saraf dan adalah lebih merbahaya sekiranya dihidu. Sekiranya dihidu secara berlebihan, rotenone boleh menyebab-kan muntah-muntah, sakit perut, menggeletar dan hilang kordinasi badan. Antara tanda-tanda dan gejala-gejala lain pendedahan terhadap rotenone ialah rasa radang pada selaput mukus, kegagalan jantung, tekanan kepada sistem saraf pusat dan kega-galan pernafasan. Pada peringkat yang lebih serius, pendedahan terhadap rotenone boleh mengakibatkan sawan dan kematian. Kematian adalah disebabkan kegagalan sistem pernafasan. Pendedahan terhadap kulit hanya akan menyebabkan rasa rengsa dan gatal-gatal. Pendedahan yang kronik akan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan hati.

Di beberapa buah negara, terdapat racun serangga yang menggunakan rotenone sebagai salah-satu sebagai bahan aktifnya. Kepekatannya berbeza antara 1 hingga 5% dan boleh didapati dalam bentuk semburan ataupun serbuk. Kini diberitakan ada beberapa jenama cat yang menggunakan bahan ini dalam keluaran berkenaan bagi menghindari cat-cat tersebut diserang oleh serangga dan siput.

Kegunaan lain

Secara tradisi, masyarakat Melayu tidak banyak menggunakan tumbuhan ini sebagai bahan ubat. Dalam beberapa kes, air rebusan akar ini dan akar tuba itu sendiri dilaporkan dimasukkan ke dalam rahim untuk merangsang keguguran. Untuk kegunaan luar, akar tuba dicampurkan dengan minyak kelapa untuk disapu di tempat-tempat gatal dan digunakan pada mereka yang mengalami “scabies’ dan kutu kepala. Daun dan akar tumbuhan ini pernah juga digunakan untuk menjauhkan semut serta serangga yang lain seperti anai-anai dan lipas di rumah-rumah. Ini dilakukan hanya dengan meletakkan bahan-bahan tersebut di kawasan laluan atau sarang serangga-serangga tersebut.

Famili: Leguminosae
Subfamili Faboideae
Nama saintifik: Derris elliptica
Nama tempatan: Akar tuba, tuba
Daun: Berselang-seli, pinat dan terdapat 9 - 13 helaian daun serta satu helaian terminat. Setiap tangkai mempunyai antara 4 hingga 6 pasang helaian daun. Panjangnya diantara 7.5 - 13 cm dan lebar 6 cm. Daun berbentuk bujur, besar dibahagian tengah. Hujung daun sedikit tajam atau bulat. Bahagian bawah daun berbulu lembut berwarna perang.
Bunga: Jambak bunga kurang satu kaki panjang. Warna merah muda, sedikit berbulu. Korola 1.5 - 2 cm panjang.
Buah: Buah atau 'pod' nipis dan rata. Panjang 9 cm, lebar 0.6 - 2.5 cm. Terdapat 1 - 4 biji dalam satu 'pod'.