Skip to main content

vcc

Bahaya Si Cantik Depan Rumah

Oleh: Rosman Ahmad dan Asdariah Misnan

Dalam keluaran yang lepas, kita telah membincangkan jenis-jenis keladi hiasan dan kesan buruk sekiranya secara tidak sengaja terkena getah keladi tersebut. Disamping keladi, banyak lagi pokok hiasan yang boleh mendatang kemudaratan sekiranya termakan ataupun getahnya terkena kulit kita. Artikel ini akan membincangkan kesan keracunan pokok Kemunting Cina (Catharanthus roseus), Bunga Corong (Alamanda cathartiaca) dan Bunga Siti Zubaidah (Hydrangea).

KEMUNTING CINA (Catharanthus roseus) 

ms7 1 

Satu lagi tumbuhan hiasan yang sering dijumpai di sekitar rumah ialah Kemunting Cina. Ia menjadi kegemaran masyarakat kerana kepelbagaian warnanya. Namun kita harus sentiasa berwaspada, kerana getah dari mana-mana bahagian tumbuhan ini mengandungi 70 jenis alkaloid termasuk vincristine dan vinblastine. Sekiranya termakan, vincristine dan vinblastine akan menyebabkan mangsa demam, berasa loya dan muntah dalam tempoh 24 jam. Selain itu, tumbuhan ini juga boleh menyebabkan masalah saraf, halusinasi, koma, sawan dan kematian. Walaupun vincristine dan vinblastine diketahui dapat merawat kanser, penggunaan secara terus daripada pokok boleh menyebabkan kesan keracunan yang sangat teruk.

BUNGA CORONG (Allamanda cathartica) 

ms7 2

Pokok Bunga Corong atau di sesetengah tempat dikenali sebagai Bunga Loceng selalu dijadikan tanaman pagar di sekeliling rumah. Seluruh bahagian pokok ini mengeluarkan getah apabila dipetik atau dipatahkan namun yang paling beracun adalah bunga dan buahnya. Dalam perubatan Tradisional Melayu, pokok ini digunakan bagi mengubati kudis buta, gatal-gatal dan kurap dengan kaedah melumatkan daunnya dan kemudian disapukan pada tempat bermasalah tersebut. Kandungan bahan allamandin, isoplumericin dan plumericin dalam getahnya boleh menyebabkan rasa loya, muntah, cirit birit, dahaga yang teramat sangat, kekeringan di dalam mulut, mengantuk, keletihan dan disorientasi. Ia juga berupaya menyebabkan keradangan pada kulit.

BUNGA SITI ZUBAIDAH (Hydrangea)

ms7 3

Pokok hiasan paling sesuai hidup di kawasan tanah tinggi. Ia semakin mendapat tempat di hati peminat bunga kerana warna bunganya yang lembut. Selain daripada itu, keistimewaan bunga ini ialah ia mengambil masa selama tiga (3) bulan untuk mekar sepenuhnya dan warnanya akan bertukar-tukar sepanjang masa tersebut. Namun, dalam kecantikan itu ternyata ada bahaya yang tersembunyi. Penggemar bunga perlu tahu bahawa keseluruhan bahagian tumbuhan ini mengandung hydragin (sejenis bahan sianogenik glikosid), febrifugine, hydrangenol dan loganin. Bahan kimia ini boleh menyebabkan rasa loya, sakit perut, muntah-muntah, cirit birit, lemah otot, sawan, koma dan kematian bergantung kepada kuantiti yang diambil.