Mengenali Batuk dan Cara Merawatnya
Batuk bukanlah satu penyakit tetapi merupakan suatu tanda penyakit. Terdapat tiga jenis batuk yang sering dihadapi oleh kebanyakan kita.
- Batuk berkahak disertai dengan gangguan pernafasan
- Batuk tanpa kahak disertai dengan gangguan pernafasan
- Batuk tanpa kahak dan tiada gangguan pernafasan.
Batuk jenis (1) dan (2) berkemungkinan juga tanda-tanda penyakit lelah yang tidak berterusan di mana tanda-tanda ini wujud semasa jangkitan virus pada saluran pernafasan. Batuk yang berlebihan terutama jenis batuk tanpa kahak dan tiada gangguan pernafasan, tidak hanya menyebabkan seseorang tidak selesa malah kekal kesakitan apabila batuk. Merujuk kepada ketiga-tiga jenis batuk di atas ahli farmasi atau doktor akan dapat menentukan jenis ubat yang harus dan selamat digunakan.
Pada amnya, pengubatan sendiri oleh sesetengah individu dibuat tanpa mengetahui jenis batuk serta jenis ubat yang sepatutnya diambil. Untuk makluman pengguna, tiada satu jenis ubat batuk yang dirumuskan boleh mengubat semua jenis batuk. Oleh itu pengguna harus tahu jenis batuk yang dihadapi sebelum mengambil ubat. Sekiranya seseorang mengalami batuk, adalah disarankan mendapat pemeriksaan doktor supaya dapat ditentukan jenis batuk dan jenis ubat yang harus diambil.
|
Jadual jenis drug yang terdapat dalam sediaan ubat batuk.
Meredakan Batuk |
---|
Dekstrometofan
|
Difenhidramin
|
Difenhidramin Hidroklorida
|
Mengeluarkan Kahak |
Ammonium Klorida
|
Guaifenesin
|
Setiap drug utama di atas dirumus dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti pemanis, pewarna, pengawet, perasa dan penstabil. Walau bagaimanapun, terdapat juga lebih dari satu drug dirumuskan dalam satu sediaan jenis ubat bagi menyesuaikan dengan jenis penyakit. Kandungan dos yang disarankan juga adalah selamat dan berkesan bagi sediaan di atas kaunter seperti ubat demam, batuk, alahan, antiasma dan bronkodilator.
Sebelum seseorang mengambil atau meminum ubat yang mengandungi drug-drug di atas, haruslah mendapat nasihat dan seliaan doktor, terutamanya bagi kanak-kanak yang berumur di bawah 2 tahun. Pesakit juga mesti mengamalkan pengambilan ubat secara betul untuk jenis penyakit yang betul dalam dos yang betul melalui saluran yang betul pada masa yang betul. Ubat dirumus sebagai penawar untuk menyembuh penyakit tetapi ubat juga boleh menjadi racun sekiranya pengambilannya tidak betul.