Skip to main content

vcc

Pelupusan Plumbum dan Pembangunan Seimbang

Oleh: natrah@usm.my

Pembangunan seimbang merupakan satu inisiatif yang amat besar maknanya kepada rakyat, khasnya dalam membentuk satu masyarakat yang benar-benar berupaya mengecapi kesejahteraan dalam semua aspek. Kesihatan merupakan salah satu tonggak dalam semua program pembangunan. Apa lagi memandangkan bahawa taraf kesihatan kini sering terancam berikutan pembangunan yang tidak seimbang.

Daripada satu aspek, tahun 90an mempunyai pengertian istimewa dalam hal pembangunan seimbang. Satu contoh adalah pencemaran alam akibat daripada penggunaan petrol berplumbum di negara ini. Misalnya mulai tahun 1999, syarikat-syarikat minyak di Malaysia telah digesa mengurangkan pembekalan petrol berplumbum ke stesen-stesen minyak mereka. Ini sejajar dengan gesaan United Nation Commission on Sustainable Development yang dibuat pada April 1994. langkah ini telah disambut baik oleh beberapa syarikat untuk menghentikan penjualan petrol berplumbum sejak baru-baru ini.

Bahaya Plumbum

Plumbum hasil daripada penggunaan petrol berplumbum merupakan satu-satunya sumber utama pencemaran alam sekitar. ia boleh menyebabkan keracunan dan berbagai gejala kesihatan khasnya kepada kanak-kanak (Jadual 1). Ini adalah kerana sistem penghadaman kanak-kanak dapat menyerap sehingga 50% daripada plumbum yang memasuki tubuh mereka. Tambahan pula, apabila tubuh badan dicemari plumbum, ia boleh menjejaskan proses pembangunan dan sistem tubuh buat berpuluh-puluh tahun.

Kesemua ini telah terbukti daripada berbagai kajian antarabangsa. Kaitannya dengan petrol berplumbum juga agak jelas. Misalnya di Amerika Syarikat, di antara tahun 1976-1991, terdapat pengurangan sebanyak 77% kandungan plumbum di dalam darah kanak-kanak yang dikaji berikutan langkah melupuskan penggunaan petrol berplumbum.

Sumber Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa antara 15 - 18 juta kanak-kanak di negara-negara membangun mengalami kerosakan otak yang berkekalan akibat daripada keracunan plumbum. Lagi sekali pencemaran daripada kenderaan menggunakan petrol berplumbum terlibat.

Usaha pelupusan yang sama juga telah disokong oleh Bank Dunia. mengikutnya lebih daripada 80 peratus kanak-kanak antara umur 3 - 5 tahun diagakkan mempunyai paras plumbum dalam darah yang membimbangkan. Melalui program Pengurusan Pencemarannya, Bank Dunia berhasrat untuk melupuskan bekalan petrol berplumbum di seluruh dunia. Kata C. Koch-Weber, Pengarah Pengurusan Bank Dunia di satu persidangan antarabangsa: “Faedah diperolehi berikutan melupuskan gasolin (petrol) berplumbum adalah serta merta dan boleh diukur, dan jauh lebih banyak mengatasi kos.”  Dalam laporannya pula, Bank itu mengatakan bahawa pelupusan petrol berplumbum adalah satu langkah dasar yang membawa faedah sodial yang ketara. Namun iltizam politik, dasar sokongan, penyelarasan berbagai sektor, dan kefahaman serta sokongan masyarakat umum adalah elemen-elemen penting unutk tujuan ini.

Pendedahan Plumbum di Malaysia

Setakat ini data-data tentang keracunan plumbum di Malaysia masih belum lengkap. Kajian tempatan yang ada walaubagamanapun menunjukkan beberapa petanda bahawa masalah ini juga berlaku di kalangan masyarakat kita khasnya kanak-kanak berumur kurang daripada 6 tahun. Pusat Racun Negara (PRN) bersama-sama Yayasan Sabah sejak tahun 1996 telah mendokumentasikan bibit sedemikian pada segolongan kanak-kanak pra-sekolah di kawasan Pantai Barat Sabah.

Kajian ini telah masuk fasa kedua (1997) dan dijangkakan akan diteruskan pada fasa ketiga  dan keempat (1999-2000). Fasa terkemudian akan melibatkan kajian pengaruh pendedehan plumbum ke atas kecerdasan mental (IQ) kanak-kanak.

Dalam pada itu, kajian awal yang serupa telah dijalankan di Kawasan Jelutong, Pulau Pinang. Ia juga menampakkan kecenderongan yang sama, yakni anggaran 6 peratus daripada kanak-kanak yang dikaji mempunyai paras plumbum dalam darah membimbangkan (lihat sebelah). Namun penemuan ini belum dapat memberi gambaran sebenarnya apa yang berlaku.

Walau bagaimanapun PRN kini sedang merancang untuk meluaskan kawasan yang sama di beberapa tadika di negeri Johor. Oleh itu, pihak yang berkenaan digesa untuk memberi perhatian selanjutnya dalam hal ini.

Jadual 1 - Kesan utama kehadiran plumbum di dalam darah khususnya bagi kanak-kanak

  •    Anemia (kekurangan darah) sehinggalah koma (tidak sedarkan diri).
  •    Pertumbuhan fizikal dan pembangunan mental.
  •    Kerosakan sistem saraf di otak.
  •    Pengurangan tahap kecerdasan (IQ) kanak-kanak.
  •    Kesukaran belajar, kurang beri tumpuan dan tingkahlaku luar biasa.

Di negara-negara maju, beberapa usaha pemantauan disusuli terutamanya pada kanak-kanak di kawasan berisiko tinggi. Ini termasuklah melalui pemantauan:

  • paras plumbum dalam darah bagi kanak-kanak dari masa ke semasa.  
  • tahap kesihatan kanak-kanak akibat pendedahan kepada plumbum.
  • prestasi pembelajaran kanak-kanak melalui ujian IQ.
  • kualiti persekitaran - persekolahan, keluarga dan rekreasi.
  • pemakanan seimbang.