Skip to main content

vcc

"Mencegah lebih baik daripada merawat"

Oleh: natrah@usm.my

Sempena Persidangan Kesihatan Kebangsaan Promosi Keselamatan & Pencegahan Kecederaan

Ungkapan di atas adalah lebih kurang maksud daripada pepatah Inggeris "An ounce of prevention is worth a pound of cure". Adalah tidak syak lagi bahawa apa juga langkah pencegahan yang dapat diambil untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini - penyakit, kemalangan, kecederaan adalah lebih baik daripada langkah-langkah untuk merawat akibat daripada kecelakaan tersebut. Ini bukan sahaja dapat menjimatkan daripada segi kos perbelanjaan, tetapi dapat juga menyelamatkan tekanan emosi serta ketidakselesaan yang sering dialami oleh berbagai pihak apabila kecelakaan tersebut berlaku. Keadaan ini akan menjadi lebih rumit lagi apabila ianya melibatkan kanak-kanak. Namun demikian, hakikatnya adalah kanak-kanak paling sering mengalami berbagai kecelakaan semasa mereka membesar. Malah kecederaan merupakan ancaman paling besar dalam kehidupan seorang kanak-kanak. Apa yang lebih merungsingkan, kebanyakan daripada kecederaan ini berpunca di rumah dan juga di tempat bermain. Oleh yang demikian, keselamatan kanak-kanak perlu diberi penekanan oleh mereka yang terlibat terutama sekali para ibu-bapa, guru serta juga penjaga/pengasuh kanak-kanak tersebut. Ini adalah sesuai dengan tema persidangan "Pencegahan Kecederaan - Perancangan Masa Hadapan" yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan pada 10-12 November 1998.

PRN menang Anugerah Kualiti

PRN telah menerima Anugerah Kualiti USM 1998 bagi Kategori Perkhidmatan daripada Naib Canselor Y.Bhg. Dato' Profesor Ishak Tambi Kechik sempena Bulan Kualiti yang berlangsung pada Oktober 1998. Anugerah ini adalah kali pertama diperkenalkan diperingkat universiti dan ianya merupakan satu penghormatan bagi PRN.

Pada bulan November tahun lalu, PenawaRacun (Bil. 17) telah menekankan perihal pentingnya keselamatan kanak-kanak dijaga berkaitan dengan keselamatan produk termasuk penggunaan bahan-bahan pencuci dan ubat-ubatan yang sering didapati disimpan di rumah. Isu keluaran tersebut juga telah membincangkan tentang penggunaan barang-barang permainan yang boleh membahayakan baik daripada segi mendatangkan kemudaratan kepada kanak-kanak maupun daripada segi keracunan bahan-bahan kimia yang digunakan untuk membuat barang tersebut.

Oleh yang demikian, adalah lebih baik semua bahan-bahan yang beracun disimpan jauh daripada jangkauan ataupun penglihatan kanak-kanak serta menentukan juga bahan permainan serta pakaian mereka tidak mengandungi bahan-bahan yang tidak selamat.

Selain daripada itu, satu kajian ada menunjukkan bahawa antara usia 1-4 tahun, lebih ramai kanak-kanak tercedera di dapur akibat daripada melecur ataupun terbakar. Oleh yang demikian, adalah penting supaya bahan-bahan yang mudah mengakibatkan kebakaran seperti mancis api ataupun dapur masak dikawal dengan baik supaya perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Semasa memasak misalnya, semua pemegang periok maupun kuali leper tidak dihalakan keluar sehingga ianya mudah dicapai oleh kanak-kanak. Penting juga ditentukan bahawa kanak-kanak tidak berada di kawasan dapur apabila aktiviti masak-memasak sedang sibuk dijalankan.

Kajian yang sama menunjukkan bahawa pada julat usia 5-9 tahun, kecelakaan lebih banyak berlaku akibat daripada lemas selain daripada terbakar. Ini juga bermaksud bahawa kawalan terhadap kanak-kanak semasa berada di tempat-tempat mandi mestilah dipertingkatkan terutama sekali apabila terdapat tadahan-tadahan air seperti kolam renang ataupun tempat-tempat mandian yang bertakung. Ini sering diamalkan semasa musim kemarau baru-baru ini. Oleh itu sekiranya kanak-kanak dibenarkan bermain dengan air, mereka mestilah diawasi dengan rapi dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Jangan galakkan takungan-takungan air terbiar begitu sahaja selepas mereka mandi. Adalah lebih baik dikosongkan tadahan air itu selepas digunakan untuk mengelakkan berlaku-nya kemalangan yang tidak sengaja. Jika tidak tentukan ia tertutup dengan selamat. Jangan biarkan kanak-kanak bersendirian di tempat simpanan air yang tidak ditutup, misalnya akuarium, kolah dan tempayan air. Bagi takungan air seperti di kolam mandi atau pancutan airi luar rumah misalnya, gunakan pagar penghadang supaya kanak-kanak tidak mudah terjatuh ke dalamnya dengan tidak sengaja.

Bagi kanak-kanak lingkungan usia 10-14 tahun pula, selain menghadapi kecenderungan yang sama, lebih ramai daripada mereka mengalami kemalangan jalanraya. Malah kemalangan di jalanraya menjadi semakin meningkat apabila usia kanak-kanak itu turut meningkat. Ini memandangkan lebih ramai daripada mereka akan cenderung keluar rumah untuk bermain. Aktiviti-aktiviti seperti berbasikal, menggunakan papan lungsur dan kasut roda serta bersukan di jalanraya (seperti bermain badminton ataupun berkejar-kejar) sudah tentu mendedahkan lagi kanak-kanak kepada bahaya di jalanraya. Oleh yang demikian, jangan digalakkan mereka untuk menggunakan jalanraya sebagai tempat berekreasi sebaliknya membawa mereka ke tempat-tempat yang lebih selamat ataupun di padang-padang rekreasi yang dikhaskan untuk tujuan bersukan.

Dengan kata lain, kanak-kanak perlu diasuh sejak kecil lagi agar prihatin tentang keselamatan mereka dalam berbagai segi. Hanya dengan asuhan dan tunjuk ajar yang berterusan barulah mereka dapat meningkat kesedaran untuk hidup dengan lebih berwaspada. Kita juga mempunyai tanggungjawab untuk menentukan yang alam sekitar dan masyarakat kita lebih terjamin daripada segi keselamatan. PRN dalam hal ini amat prihatin sejajar dengan misinya.