Skip to main content

vcc

TETRODOTOKSIN: Racun Ikan Buntal

Oleh: Sazaroni Md Rashid
TETRODOTOKSIN:  Racun Ikan Buntal

Kes tragik yang meragut nyawa seorang warga emas di Kluang, Johor akibat memakan ikan buntal baru-baru ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak. Ikan buntal ditemui di perairan tropika dan sub-tropika. Hasil kajian mendapati terdapat sekurang-kurangnya 185 spesis ikan buntal di perairan Malaysia. Ikan buntal dari famili Tetraodontidae, Diodontidae dan Ostraciidae mengandungi racun Tetrodotoksin (TTX) iaitu sejenis toksin bukan protin yang sangat bahaya (poten)  bahkan 1,200 kali ganda lebih poten berbanding sianida.

TTX ialah sejenis racun yang akan mengakibatkan sistem saraf tidak berfungsi dan melumpuhkan otot.  Kematian berlaku akibat dari mangsa tidak boleh bernafas. Paras TTX dalam ikan buntal berbeza mengikut lokasi geografi, spesis dan musim—TTX tinggi sekitar  bulan Mac hingga Oktober. Haiwan marin lain seperti belangkas dan ketam (spesis Atergatis floridus dan Zosimus aeneus) juga mengandungi TTX. 

Keracunan yang disebabkan oleh spesis ikan buntal telah diketahui sejak sekian lama. Kandungan TTX yang tinggi boleh didapati di dalam kulit ikan buntal dan  organ dalaman seperti hati, gonad (terutamanya ovari), telur,  hempedu dan usus. Sesetengah spesis ikan buntal turut mengandungi TTX di dalam isinya. Di Jepun, terdapat sejenis makanan berasaskan ikan yang dikenali  sebagai ‘fugu’ dihidangkan di restoran. Tukang masak yang menyediakan fugu perlu mempunyai lesen khas untuk penyediaan fugu. Sewaktu menyiang, mereka akan  pastikan kulit dan organ ikan buntal tidak bercampur atau terkena isi ikan yang disediakan. Isi ikan akan  dibersihkan dengan rapi sebelum dihidangkan.  Mereka amat berwaspada dalam mengendalikannya sehingga sisa ikan buntal yang dibuang juga diuruskan dengan  rapi untuk mengelakkan keracunan TTX kepada  haiwan lain atau disalah gunakan untuk tujuan jenayah. Selain daripada negara Jepun, banyak negara lain juga  turut menghidangkan ikan buntal dalam menu di  restoran mereka. 

Ads:

TTX stabil haba dan asid. Kaedah pemanasan, pengeringan mahupun sejuk beku ikan buntal tidak akan dapat memusnahkan atau meneutralkan TTX. Di sesetengah tempat, ikan buntal ditangkap, disiang dan isinya (filet) dibekukan untuk tujuan komersil. Penjualan makanan yang memudaratkan kesihatan awam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983  dan Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak  melebihi satu ratus ribu ringgit (RM100,000) atau dipenjarakan  selama tempoh tidak melebihi sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya. Terdapat juga spesis ikan  tidak beracun yang mempunyai rupa dan bentuk fizikal yang hampir sama dengan spesis ikan buntal seperti ikan ayam atau ikan barat (leather jacket fish).  Kekeliruan boleh berlaku semasa penangkapan, penjualan serta  penyediaan makanan. Kegiatan membeli produk makanan secara atas talian khususnya produk haiwan marin berisiko kepada kesihatan adalah sukar untuk dikawal.  Oleh itu, orang awam diingatkan supaya mendapatkan spesis ikan yang dikenalpasti daripada sumber yang selamat. 

Peraturan keselamatan dan kawalan dalam  pengendalian, pemprosesan, penyediaan serta penjualan ikan buntal serta haiwan marin beracun lain untuk kegunaan awam di Malaysia perlu dipertingkatkan.  Setiap individu perlulah berwaspada, cakna dalam isu semasa dan ambil peduli untuk mengelakkan kejadian tidak diingini seperti ini daripada berulang.  

pg 2