Skip to main content

vcc

Rawatan penyakit epilepsi semasa mengandung: Risikonya terhadap janin

Oleh: natrah@usm.my

Oleh: Mohamed Izham Mohamed Ibrahim (PhD) & Norlela Maarup (MD)

Umumnya pengidap penyakit epilepsi (sawan) yang hamil berupaya melalui proses kelahiran yang normal. Tiada peningkatan dalam kejadian sawan dan lebih 90% bayi yang dilahirkan adalah normal. Namun demikian, risiko bayi mengalami kecacatan menjadi ketara di kalangan ibu hamil yang mengambil ubat-ubat merawat epilepsi dalam tiga bulan pertama kehamilan. Berikutan kesan sampingan ini, pengurusan yang teliti adalah penting dalam merawat pengidap epilepsi yang hamil.

Terdapat peningkatan kejadian sawan bagi kebanyakan wanita hamil dalam tempoh tiga bulan pertama, risiko komplikasi juga meningkat sekiranya mereka mengalami epilepsi. Antara masalah yang mungkin dialami ialah:

  • muntah yang teruk
  • penyakit darah tinggi (pre-eklampsia)
  • pendarahan dari vagina
  • kelahiran sebelum cukup bulan
  • sawan semasa melahirkan bayi

Kebanyakan ibu hamil mula berjumpa doktor untuk pemeriksaan dalam bulan  ke 3-4 kehamilan. Di tahap ini janin sudah dibentuk dan sedang membesar. Jika ibu-ibu tersebut mengidap epilepsi, faedah mengubah rawatan ubat sudah berkurangan. Ibu-ibu ini sepatutnya diberi nasihat berkenaan epilepsi dan kaedah merawatnya sebelum mereka hamil lagi. Ibu-ibu perlu mengurangkan jenis ubat kepada sejenis sahaja dan dosnya juga perlu dikurangkan.

Kesemua ubat utama (seperti karbamazepin, sodium valproat, fenitoin, fenobarbiton) bagi rawatan sawan adalah merbahaya terhadap janin. Ubat-ubat ini boleh mengakibat-kan kecacatan kepada bayi. Risiko kecacatan bayi juga meningkat jika ibu-ibu tersebut mengambil lebih daripada satu jenis ubat terutamanya jika ubat sodium valproat digabungkan dengan ubat-ubat lain. Dos ubat perlu diubah berdasarkan kepada kestabilan keadaan ibu serta risikonya terhadap janin dan bukan kepekatan ubat dalam darah. Ubat-ubat di atas perlu diguna-kan secara berhati-hati dan dengan pengawasan doktor. Beberapa ubat baru seperti gabapentin dan lamotrigin adalah selamat digunakan. Namun begitu sejenis lagi ubat baru iaitu topiramat telah dilaporkan boleh mengakibatkan janin kehilangan jari dan anggota kaki serta tangan.

Antara masalah kecacatan bayi yang sering terjadi akibat pengambilan ubat untuk rawatan sawan oleh ibu hamil ialah:

  • peningkatan jarak yang tak normal antara organ (hypertelorism)
  • bahagian tengah muka yang tak normal (abnormal midface)
  • lipatan kulit yang tak normal di sebelah batang hidung (epicanthic folds)
  • saiz kepala yang tak normal (kecil) (microcephaly)
  • lipatan tapak tangan yang tak normal (transverse palmar creases)
  • kecacatan tulang rangka (minor skeletal abnormalities)
  • kecacatan saraf tulang belakang (spina bifida)
  • kecacatan jantung (congenital heart disease)

Terdapat juga saranan untuk memberi-kan ibu-ibu tersebut sama ada asid folik atau vitamin K bagi mengurang-kan risiko kemudaratan kepada janin.

Kehamilan di kalangan ibu-ibu yang mengalami penyakit sawan perlu dimantau dan diurus dengan lebih teliti oleh doktor kerana meningkatnya insidens komplikasi dan kesan mudarat ubat. Nasihat perlu diberikan kepada wanita sebelum mereka hamil.