Skip to main content

vcc

Syarikat Rokok Terus Meraih Keuntungan, Masyarakat Terus Menagih

Oleh: natrah@usm.my

Dalam masa 4 tahun sejak fatwa kebangsaan mengharamkan merokok syarikat-syarikat tembakau terus meraih keuntungan lumayan walaupun dalam keadaan kegawatan ekonomi semasa. Syarikat tembakau seperti Malaysian Tobacco Company Berhad (MTC) dilaporkan telah mencatat 42.4% peningkatan keuntungan kumpulan sebelum cukai kepada RM23.243 juta pada tahun berakhir 31 Disember 1998 berbanding RM16.122 juta pada tahun sebelumnya. Sedangkan pendapatan kumpulan setiap saham meningkat kepada 7.1 sen daripada 5.1 sen dalam tahun 1997. Sayugia diingatkan bahawa syarikat MTC adalah salah satu daripada anak syarikat gabungan terbesar yang telah memindahkan operasinya dari Hong Kong ke negara ini pada tahun lalu. Ia bersedia untuk meningkatkan lagi pengeluaran rokok dan sekaligus menjadikan Malaysia negara pembekalan dan pengekspot rokok yang terkemuka di rantau ini.

Dalam pada itu aktiviti penanaman tembakau juga seolah-olah digalakkan. Ini berikutan pengumuman Lembaga Tembakau Negara (LTN) tentang kuota pengeluaran tembakau, baru-baru ini misalnya, LTN memperuntukkan kuota pengeluaran tembakau berjumlah 1,007,000 kilogram kepada Negeri Perlis bagi musim 1999/2000. Bagi meningkatkan pengeluaran, pihak LTN Perlis menanam tembakau di kawasan seluas 640 hektar, membabitkan 930 penanam.

Pegawai Pembangunan LTN Perlis berkata kuota ini walaupun menurun 26,000 kilogram berbanding 1,033,000 kilogram bagi musim 1998/1999, tetapi berharap bahawa kuota yang diperuntukkan itu mampu dicapai atau sekurang-kurang- nya menyamai pengeluaran musim lalu; iaitu kira-kira 70 peratus daripada kuota lalu.

Negara kerugian

Satu lagi kenyataan yang dibuat baru-baru ini menunjukkan melalui penggunaan tembakau, lebih kurang RM3 bilion telah dialirkan keluar daripada negara ini memandangkan kebanyakan daripada syarikat ini adalah syarikat-syarikat asing. Walaupun ada dakwaan yang tembakau menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, namun sumbangan tersebut tidak pun sampai kepada setengah daripada wang yang dialir keluar melalui jualan tembakau di negara ini. Malah kerugian yang dialami negara menjadi lebih ketara lagi apabila perbelanjaan rawatan untuk penyakit-penyakit berkaitan merokok diambil kira.

Sebagai kesimpulan, dengan melengahkan perlaksanaan fatwa pengharaman merokok selama empat (4) tahun keadaan akibat penggunaan tembakau menjadi semakin tenat. Kita seolah-olah turut bersubahat dalam hal ini di mana lebih ramai rakyat yang akan menagih rokok. Soalnya berapa lama lagi yang perlu kita tunggu - berapa ramai lagi yang perlu dikorbankan sebelum fatwa pengharaman merokok dilaksanakan dengan serius dan tegas demi kebaikan masyarakat jelata amnya dan umat Islam khasnya.