Skip to main content

vcc

Mengeluarkan Plumbum Dari Tubuh: Bila Rawatan Diperlukan?

Oleh: natrah@usm.my

sudut idpis

Apabila kita berhadapan dengan sesuatu kes keracunan, secara otomatis kita akan bertanyakan ubat penawarnya. Begitulah juga dalam konteks keracunan plumbum, kita ingin tahu jika terdapat ubat-ubatan yang boleh digunakan sebagai penawar. Dalam hal ini, sememangnya ada beberapa ubat-ubatan yang boleh bertindak sedemikian dan diantaranya termasuklah dimerkaprol, kalsium disodium versenat, penisilamin serta asid dimerkaptopurik. Keempat-empat agen ini didapati berkesan untuk mengikat dan seterusnya mengeluarkan plumbum melalui buah pinggang atau hati. Namun begitu, ubat-ubatan ini sepertimana juga dengan ubat-ubatan lain ada baik dan buruknya! Kesedaran ini harus di pupuk supaya pergantungan sepenuhnya kepada ubat-ubatan tersebut tidak berlaku dan langkah-langkah pencegahan lebih dititikberatkan berbanding rawatan. Ruangan IDPIS kali ini bercadang untuk membincangkan serba sedikit peranan ubat-ubatan dalam rawatan keracunan plumbum dan melihat sejauh mana ianya berguna kepada kita.

Jadual 1: Perbandingan Paras Plumbum dalam Darah dan Langkah-langkah Rawatan yang Patut Dilakukan

Paras plumbum dalam darah (mcg/100ml)Langkah Yang Patut Dilakukan
Kurang dari 10 Tidak mengalami keracunan plumbum;
10-14 Perlu uji semula darah dalam masa 6 bulan
15-19 Perlu uji semula darah dalam masa 3 bulan
20-24 Perlu uji semula darah dalam masa 1 bulan
25-44 Jika pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit, ujian mobilisasi plumbum EDTA boleh dilakukan. Jika nisbahnya kurang daripada 0.6, rawatan tidak diperlukan. Ujian semula boleh dipertimbangkan jika pesakit tidak menunjukkan sebarang gerakbalas terhadap langkah-langkah pengurangan pendedahan plumbum pada persekitarannya. Jika ujian ini tidak dapat dilakukan, suntikan intraotot EDTA boleh diberikan dengan diikuti oleh pengambilan air yang banyak. Jika nisbah adalah lebih daripada 0.6, mulakan terapi pengkelatan
45-69 Disahkan dalam masa 48 jam.
Mulakan rawatan dengan memberi pesakit EDTA atau succimer. Rawatan diulangi selang 2 minggu melainkan rawatan yang lebih agresif diperlukan. Penambahan dimerkaprol kepada rawatan EDTA pada kanak-kanak yang mempunyai paras plumbum dalam lingkungan 50-60mcg/100ml boleh menyebabkan toksisiti berlebihan.
70 dan selebihnya Disahkan segera. Pesakit dianggap sebagai berada dalam kecemasan. Pesakit harus diasingkan dari persekitaran pada masa itu juga. Pesakit yang telah dirawat tidak boleh ditempatkan semula di persekitaran yang dikontaminasikan plumbum.
Mulakan terapi dengan dimerkaprol

Sumber: Postgraduate Medicine, Vol 99 (3), 201-218; 1996

Dimerkaprol (atau nama lain BAL) merupakan ubat penawar keracunan plumbum jenis suntikan yang sering digunakan. Oleh kerana ia disingkirkan melalui sistem hati, ia amat sesuai diberikan kepada pesakit yang pada masa yang sama mengalami gangguan buah pinggang. Jangkamasa rawatan biasanya selama 5 hingga 7 hari dan boleh diulangi jika didapati perlu. Pesakit yang mengalami penyakit hati, defisiensi G6PD tidak disyorkan mendapat rawatan ini. Kesan sampingan yang ketara dengan penggunaan ubat ini termasuklah rasa mual, muntah, darah tinggi, degupan jantung pantas, sakit kepala, keresahan, sakit perut dan demam. Terbitannya, iaitu asid merkaptopurik (DMSA) mempunyai sifat yang sama seperti dimerkaprol tetapi dengan kelebihan ianya boleh diberikan secara oral dan kurang toksik.

Kalsium disodium versenat, sejenis suntikan pula amat berguna pada pesakit keracunan plumbum yang juga menghidapi penyakit buah pinggang. Penyingkiran plumbum dikatakan dapat ditingkatkan sebanyak 20 hingga 50 kali ganda. Jangkamasa rawatan adalah 5 hari dan ini boleh diulang selang masa rehat 2 hingga 3 hari. Penggunaannya telah dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang jika tidak berhati-hati. Bila diperlukan, ia perlu digunakan bersama dimerkaprol bagi mencegah ensefalopati (sejenis gangguan otak) yang disebabkan oleh pergerakan plumbum dari tisu lembut ke dalam darah. Satu lagi ubat penawar keracunan plumbum yang dalam peringkat kajian adalah penisilamin. Penisilamin, adalah aktif secara oral dan ia dapat meningkatkan penyingkiran plumbum dari urin. Namun begitu ia amat tidak sesuai untuk individu yang alah kepada penisilin. Kesan sampingan dilaporkan berlaku pada 20% pesakit dengan masalah seperti ruam, demam, tiada selera makan, loya, muntah, berbagai jenis gangguan darah dan kerosakan buah pinggang.

Ubat-ubatan ini biasanya digunakan pada pesakit yang mempunyai kepekatan plumbum yang tinggi di dalam darah dan pada masa yang sama ada menunjukkan tanda-tanda keracunan. Kepekatan 10mcg/100ml walaupun diketahui boleh menjejaskan IQ dan mempengaruhi tingkahlaku masih tidak cukup menjadi justifikasi untuk memulakan rawatan ubat. Jadual 1 di atas memberikan langkah-langkah yang disarankan pada pesakit yang mempunyai kepekatan plumbum tertentu di dalam darah.

Pendekatan yang disarankan dalam keadaan dimana paras plumbum dalam darah didapati tinggi:
Jika paras plumbum dalam darah melebih 10mcg/dl, dapatkan sejarah, lakukan pemeriksaan fisikal, uji defisiensi zat besi.