Skip to main content

vcc

Penangan Cendawan Ajaib

Oleh: Mohd Fadhli Razali

frontpg

SUMBER:https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Golden_teacher_kookoskuidussa.jpg

Pengenalan

Anda pasti biasa mendengar tentang isu penyalahgunaan opiod, candu, ganja, ekstasi, ketum, dan syabu kan? Namun, pernahkah anda mendengar tentang penyalahgunaan Cendawan Ajaib (Magic Mushroom)?

Terdapat pelbagai jenis cendawan beracun di dunia. Ada yang boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit, ada juga yang boleh menyebabkan kegagalan organ malah kematian, bergantung kepada spesis yang dimakan.

Terdapat beberapa spesis cendawan dalam genus Psilocybe yang mengandungi bahan aktif utama Psilocybin, iaitu bahan aktif halusinogen yang sangat kuat dan lebih dikenali sebagai Magic Mushroom atau Cendawan Ajaib dalam Bahasa Melayu. Antara nama-nama lain yang popular termasuklah, Shroom dan Booms

Penyalahgunaan Cendawan Ajaib

Cendawan ajaib ini disalahgunakan kerana ia mampu menyebabkan kesan halusinasi, rasa seronok yang
melampau dan tidak sedar sepenuhnya. Ia juga boleh mengubah persepsi, emosi dan pemikiran pengggunanya. Malah, dikatakan 5 minit di dunia nyata seolah-olah seperti 2-3 jam di dalam dunia khayalan akibat pengambilan cendawan ajaib. Ia seolah-olah anda bermimpi dalam keadaan sedar.

Antara spesis yang dicari ialah spesis Psilocybe cubensis,  Psilocybe semilanceata dan Psilocybe baeocystis.
Penyalahgunaan cendawan ini sangat popular di Mexico, Amerika Selatan dan di Amerika Syarikat. Pelbagai cara cendawan ini disalahgunakan oleh penggunanya. Antaranya termasuklah:
✺ Cendawan dimakan mentah atau dikeringkan
✺ Cendawan diminum dalam bentuk teh
✺ Pengambilan cecair bahan aktif Psilocybin atau dipanggil ‘Microdosing
✺ Dimasukkan ke dalam peranti seperti vape atau rokok

Bagaimana Psilocybin bertindak di dalam badan

Psilocybin adalah halusinogen yang bertindak mengaktifkan reseptor serotonin dalam otak, terutamanya di bahagian kortex hadapan, bahagian otak yang mengawal mood, kognitif dan persepsi.

Struktur kimia Psilocybin mempunyai sedikit kesamaan dengan struktur kimia lysergic acid diethylamide (LSD).
Psilocybin akan ditukarkan kepada psilosin, sebelum ia bertindak dan kesan halusinatif bahan ini kebiasaannya akan dirasai dalam 30 minit selepas pengambilan dan bertahan sehingga 4 hingga 6 jam. Tetapi ia juga bergantung kepada kuantiti yang diambil, dan pengalaman pengambilan. Kesannya mungkin tidak sama bergantung kepada individu itu sendiri.

Kesan Keracunan Cendawan Ajaib

Selain daripada kesan halusinatif, cendawan ajaib juga boleh menyebabkan kesan keracunan yang lain. Ini termasuklah:
✺Kekeliruan
✺Mengantuk yang teruk
✺Loya dan muntah
✺Berpeluh-peluh
✺Degupan jantung yang laju
✺Tekanan darah tinggi
✺Muka menjadi kemerah-merahan
✺Hilang koordinasi badan
✺Sawan (terutamanya jika terambil oleh kanak-kanak)
✺Kegagalan buah pinggang
✺Jantung terhenti
✺Psikosis dan reaksi panik

Penyalahgunaan Cendawan Ajaib di Malaysia

Penyalahgunaan cendawan ajaib di Malaysia bukan isu baru. Jika dibuat pencarian berita di dalam internet, seringkali terpapar berita Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membuat rampasan cendawan ajaib terutamanya di pusat-pusat hiburan.

Psilocybin memang jelas termaktub di dalam Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan mengedar, memiliki dan menggunakannya.

Kini, pengambilan cendawan ajaib telah diasimilasi pula ke dalam budaya menghisap vape terutamanya dalam kalangan anak-anak muda. Malahan, cecair vape mengandungi cendawan ajaib ini dikatakan diimport secara haram dari luar negara dan dijual dengan harga yang tinggi sekitar RM300 sebotol di Malaysia.

Pusat Racun Negara juga telah menerima beberapa panggilan kes keracunan yang disyaki mengandungi cendawan ajaib yang dicampur ke dalam cecair vape. Malah ada kes yang melibatkan kanak-kanak!

ms2