Vape : Rokok Zaman Moden (Siri 1)
Adakah sejarah akan berulang kembali?
Fenomena menghisap vape pada masa kini, umpama mengulangi sejarah silam penerimaan rokok dalam kalangan masyarakat. Jika suatu ketika dahulu, rokok ditonjolkan sebagai satu imej dan gaya berprestij oleh syarikat tembakau, kini vape pula telah menjadi trend bukan sahaja dalam kalangan lelaki tetapi juga golongan wanita dan kanak-kanak dengan rekabentuk yang menarik dan mengelirukan beserta maklumat yang telah dimanipulasikan.
Ini dibuktikan dengan peningkatan bilangan perokok elektronik yang telah naik secara mendadak dalam tempoh yang singkat ini. Pada tahun 2016, penghisap vape dewasa adalah 3.2% bersamaan dengan 600 ribu orang, manakala dalam kalangan remaja pula 300 ribu telah terbabit dengan gejala ini pada ketika itu. Tidakkah anda bimbang jika tabiat menghisap vape akan mempengaruhi ahli keluarga anda? Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa kanak-kanak atau remaja yang menggunakan vape atau rokok elektronik mempunyai dua kali ganda risiko untuk menghisap rokok pada masa akan datang!
Justeru itu, vape bukanlah pilihan untuk berhenti merokok. Sebaliknya ia hanya peralihan bentuk ketagihan sahaja dengan risiko kesihatan yang berlainan. Malahan tinjauan awal mendapati lebih 80% penghisap vape tidak berhenti merokok sebaliknya berakhir menjadi pengguna kepada kedua-dua produk tersebut.
Jika ingin berhenti merokok, yakin dan percayalah dengan saranan pengamal perubatan anda untuk menggunakan terapi ubat-ubatan yang diiktiraf dan telah dikaji keselamatannya. Berhenti menghisap vape atau jangan mulakan!