Memahami Baik Buruk Viagra
Mengikut sumber perubatan, bilangan rakyat Malaysia lelaki yang mengalami keadaan ‘mati pucuk’ ataupun erectile dysfunction (ED) dalam bahasa saintifiknya, adalah anggaran satu juta orang. ED dikenali sebagai satu keadaan apabila seseorang itu tidak dapat melakukan hubungan kelamin kerana anggota kelamin tidak berupaya ditegangkan. Keadaan ini khususnya melibatkan kaum lelaki akibat daripada berbagai punca, termasuk masalah perubatan, fisikal maupun psikologikal, ataupun kedua-duanya sekali. Penyakit kencing manis, darah tinggi, kanser bahagian kolon (sebahagian usus besar), kegemukan (obesiti) adalah di antara sebab yang boleh mengakibatkan ED.
Selain daripada itu berbagai jenis ubat-ubatan dan bahan racun seperti rokok, alkohol dan dadah boleh juga menyebabkan ED. Malah lebih daripada 200 jenis ubat telah dikesan boleh menyebabkan ED. Antaranya adalah seperti yang di-senaraikan dalam Jadual 1.
Jadual 1 Contoh ubat-ubat yang boleh mengaruh ED Alfa inteferon
Agen Antihipertensif
Agen Antiparkinson
Dadah Merbahaya
Estrogen
Hidralazin
Resperin |
Sebelum adanya ubat seperti Viagra, rawatan ED menggunakan pendekatan yang memerlukan peralatan tertentu untuk membolehkan berlakunya ketegangan anggota kelamin. Namun banyak daripada pendekatan ini tidak begitu digemari kerana ketakselesaan yang timbul ataupun menyebabkan sipengguna merasa agak ‘malu’ untuk menggunakannya. Malah ubat-ubatan yang adapun tidak begitu menyakinkan se-perti terapi penggantian hormon, ataupun suntikan ubat alprostadil. Oleh yang demikian, dengan adanya Viagra, satu ubat pil yang begitu mudah digunakan untuk mengatasi ED, dunia perubatan telah mencipta satu kejayaan yang selama ini sememangnya dinantikan.
Bagaimana Viagra bertindak
Viagra atau dikenali secara saintifik sebagai sildenafil sitrat adalah bahan kimia pertama yang dikatakan dapat bertindak terus ke anggota kelamin lelaki untuk merawat ED. Ini berlaku hasil daripada sejenis tindakan kimia yang berlaku untuk mempermudahkan darah mengalir ke dalam saluran darah pada anggota kelamin. Pada masa yang sama bekalan darah yang keluar daripada anggota kelamin menjadi berkurangan. Hasilnya otot-otot pada anggota kelamin menjadi lebih tegang sepertimana berlaku dalam keadaan biasa.
Memandangkan ini, maka tidak hairanlah yang Viagra menjadi begitu popular bukan saja di kalangan pesakit ED, tetapi juga golongan lelaki lain amnya. Bezanya sungguhpun begitu Viagra mengambil masa lebih kurang satu jam untuk memberi kesannya sedangkan dalam keadaan normal proses ini berlaku secara spontan. Walaupun demikian, Viagra bukannnya ubat ‘tenaga batin’ ataupun aprodisiak. Maksudnya bagi mereka yang tidak mengalami ED, Viagra tidak akan mendatangkan apa-apa ‘kebaikan’ tambahan. Sebaliknya ia boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan lain kerana ini boleh dianggap sebagai salahguna.
Akibat salahguna
Perbuatan salahguna inilah yang sebenarnya membimbangkan. Viagra kini dianggap sebagai bahan ‘rekreasi’ oleh se-tengah-tengah pihak. Yakni digunakan untuk lebih berseronok-seronok oleh mereka yang tidak mengalami ED. Bagi pesakit ED pula Viagra telah membuka satu lembaran ‘baru’ dalam kehidupan mereka sehinggakan banyak pula kerenah lain yang timbul. Laporan seperti suami menceraikan isteri, pelacur membunuh ‘pelanggan’ ataupun syarikat-syarikat insuran disaman oleh pengguna Viagra sudah mula dapat dibaca di akhbar-akhbar. Pendek kata berbagai gejala sosial sudah mula terbit dengan adanya ubat seperti Viagra. Bahkan adapun pihak-pihak yang telah mula menyeludup pil ini dan sesetengahnya disyaki pil-pil palsu. Kesemua ini membayangkan betapa popularnya Viagra - sebahagiannya kerana salah anggapan yang ianya adalah ubat ‘rekreasi yang serba selamat dan menyeronohkkan.’
Daripada segi ekonomi pula, penggunaan Viagra akan mendatangkan implikasi yang besar. Pertama, kerana ia-nya begitu mahal - anggaran US$10 sebiji. Ataupun sekurang-kurangnya RM40 sebiji. Ini bermakna jika setiap orang daripada anggaran sejuta pengidap ED di Malaysia memakan pil ini sekali saja dalam setahun, implikasi kosnya adalah lebih kurang RM40 juta. Perkara kedua yang berkaitan ialah, tidak seperti pil ubat lain, Viagra akan digunakan oleh seseorang itu setiap kali hendak mengadakan hubungan kelamin. Ini bermakna kekerapan penggunaannya tidak dapat hendak dibatasi atau dihadkan seperti dalam hal ubat lain. Oleh itu, perbelanjaan yang akan terlibat sudah tentunya berjuta-juta, mungkin berbilion ringgit mengikut satu anggaran.
Perkara ketiga ialah penggunannya oleh orang ramai yang tidak mengidap ED - baik lelaki maupun perempuan - walaupun ia dikatakan tidak sesuai untuk kaum wanita. Tetapi kenyataannya adalah Viagra akan tetap mendapat pasaran dari hampir semua pihak. Implikasinya bukan saja kos akan lebih meningkat, malah jangkaan aktiviti berkaitan seks akan turut meningkat - kes rogol, pelacuran, tajaan ‘pelancongan seks.’ Kesudahan penyakit kelamin akan pula turut meningkat. Inilah perkara keempat yang membimbangkan memandangkan gejala sosial yang kemungkian besar akan timbul akibat penyalahgunaan ubat seperti Viagra.
Kesan-kesan buruk
Kebimbangan yang disarankan di atas boleh dianggap sebagai kesan buruk tidak langsung yang lebih berbentuk sosial dan ekonomi. Namun ini semua adalah kedua pentingnya. Yang paling penting untuk difahami ialah semua ubat, Viagra tidak terkecuali, mempunyai kesan buruk dan kesan sampingannya tersendiri. Tidak kira berapa selamat ubat tersebut mengikut ukuran sains, ia tetap mempunyai risiko - apa lagi bagi ubat-ubat baru seperti Viagra.
Antara kesan-kesan buruk ini ada yang agak ringan (Jadual 2), tetapi ini semua agak relatif kepada seseorang individu itu. Perlu juga dikatakan bahawa kini terdapat sekurang-kurangnya 16 kes kematian yang melibatkan pengguna Viagra. Walaupun kes tersebut masih disiasat, sepatutnya ia sudah cukup untuk memberi amaran. Angka ini meningkat kepada 30 orang maut selepas menggunakan Viagra menurut laporan terbaru dari AS. Antara sebabnya termasuklah serangan jantung dan angin ahmar (strok). Sebahagiannya mengalami keadaan tidak siuman dan masalah penglihatan. Walaupun Viagra masih dianggap selamat penggunaannya perlu diawasi.
Jadual 2 Kesan sampingan yang lazim untuk Viagra
|
Oleh kerana ED juga lebih sering melibatkan orang yang berusia lanjut - 65 tahun keatas, kemungkinan kesan sampingan berlaku, malah maut sekalipun, adalah lebih tinggi. Kes-kes kematian yang dilaporkan kebanyakannya melibatkan golongan yang telah berumur.
Ini adalah di antara kesan-kesan yang kini di ketahui berlaku sebagai kesan yang tidak diingini. Walaupun begitu, semestinya banyak lagi kesan-kesan lain yang akan dapat diperhatikan apabila ubat ini digunakan secara meluas di seluruh dunia kelak, apalagi jika disalahgunakan. Ini sudah lumrah dalam ubat-ubatan, dan ada pula yang terpaksa ditarik semula daripada pasaran kerana kesan buruk yang membahayakan.
Selain dari itu, penggunaan Viagra di khuatiri seseorang itu bergantung secara psikologi, iaitu ia terpaksa menggunakan ubat berkenaan setiap kali hendak melakukan hubungan kelamin - walaupun sebelum itu Viagra tidak diperlukan sama sekali.
Memandangkan semua kemungkinan ini satu pertimbangan yang serius mesti diberikan sebelum ubat seperti Viagra digunakan khasnya bagi mereka yang tidak memerlukannya. Kehadiran Viagra dalam negara ini kelak mestilah diiringi dengan kesedaran secukupnya supaya ubat ini dimanfaatkan sebaik mungkin. Segala salahguna dan prasangka yang kini wujud mesti diperbetulkan untuk mengelakkan kesan buruk dan gejala sosial yang tidak sihat. Apalagi dalam keadaan kegawatan ekonomi yang sedang kita alami bersama, penggunaan Viagra boleh merupakan satu pembaziran jika tidak dibendung.