Skip to main content

vcc

Siri Tumbuhan Beracun 3 - Akar Saga

Oleh: Razak Hj. Lajis & Adenan Jaafar


Abrus precatorius L. ialah nama saintifik bagi sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai akar sagasaga akarsaga betina atau akar belimbing di kalangan masyarakat tempatan. Tumbuhan ini banyak terdapat di kawasan tropik dan tumbuh meliar di tanah berpasir.

Akar saga merupakan sejenis tumbuhan yang menjalar dan memanjat. Kulit batangnya berwarna gelap. Ia tumbuh melilit pada tumbuhan sokongan dan batangnya boleh menjalar sepanjang antara 3 hingga 6 meter. Bijinya mempunyai warna yang menarik dan sering dijadikan barang perhiasan seperti anting-anting, rantai leher, gelang, tasbih dan barang permainan kanak-kanak.

Dari segi nilai perubatan, akar saga dilaporkan mempunyai beberapa khasiat terutama dalam perubatan tradisional. Ia pernah digunakan untuk merawat radang mata dan menghalang kehamilan. Namun disebahagian masyarakat di Afrika dan Madagascar menggunakannya sebagai racun. Dalam beberapa masyarakat lain pula, ia dilaporkan digunakan untuk mempercepatkan proses kelahiran, meransang keguguran dan menghalang kehamilan.

Abrin, bahan toksik yang diperolehi dari pada biji tumbuhan ini pernah dikaji untuk membangkitkan kesan immunotoksin dalam rawatan barah.

Di beberapa kawasan di benua Amerika pula, infusi biji tumbuhan ini digunakan untuk merawat radang mata. Ia dilaporkan berupaya meningkatkan peredaran cecair tempatan dan menyerap hasil inflamasi. Bagaimanapun infusi yang mengandungi abrin ini boleh menjadikan inflamasi tidak terkawal dan menyebabkan penglihatan rosak keseluruhannya. Kemungkinan ini menjadikan infusi abrin ini tidak lagi digunakan sebagai agen terapeutik.

Dalam perubatan tradisional tempatan, daun akar saga ini digunakan sebagai ubat cacing bagi kanak-kanak dengan cara merebus daunnya dan air rebusan tersebut dibuat campuran air mandian.

Bahan Toksik

Abrin ialah sejenis fitotoksin atau toksalbumin yang didapati dalam biji tumbuhan ini sama ada yang matang ataupun tidak. Sekiranya tertelan, kulit bijinya yang keras menjadi pelindung kepada risiko keracunan berbanding kalau dimakan atau dikunyah tanpa kulit. Sebagai toksalbumin, abrin dikatakan bertindak terhadap pembentukan protein dalam sel-sel di dinding usus.

Kesan toksik berlaku beberapa hari atau beberapa jam selepas biji tumbuhan tersebut dimakan. Ini bergantung kepada berapa banyak biji yang ditelan atau dikunyah. Gejala keracunan termasuklah rengsa mulut, rasa loya, muntah-muntah, cirit-birit berdarah, lemah anggota badan, gerak nadi yang cepat dan berlaku sawan hingga menyebabkan kematian akibat kegagalan jantung. Walau bagaimanapun, pengambilannya dalam jumlah yang kecil secara berterusan dilaporkan dapat meningkatkan daya ketahanan seseorang itu terhadap bahan tersebut. Rawatan kes keracunan yang melibatkan biji saga ialah dengan menghalang penyerapan bahan tersebut ke dalam tubuh. Ini dilakukan dengan menggalakkan supaya pesakit muntah, mencuci perut dan menggantikan cecair dan elektrolit badan yang hilang.

Bahan-bahan Lain

Selain daripada bahan toksik, abrin, biji saga juga mengandungi abralinprekatorinN-metiltriptofan dan urease. Beberapa steroid tumbuhan iaitu, beta-stosterol dan stimasterol, juga wujud dalam biji tumbuhan ini. Daun dan akar tumbuhan ini mengandungi glycyrrhizin iaitu sejenis glikosida triterpen yang manis. Di beberapa bahagian di Afrika Barat, daun tumbuhan ini digunakan untuk menambah rasa manis makanan dan sebagai ubat untuk gangguan usus. Suatu ketika dahulu, akar saga telah digunakan menggantikan akar likorsi sebagai sumber glycyrrhizin. Bagaimanapun kehadiran bahan toksik dalam akar tumbuhan tersebut telah menghadkan penggunaannya sebagai sumber gantian likrosi. Daun akar saga dikatakan lebih manis daripada akarnya dan hampir sama manis dengan sukrosa. Dalam satu kajian yang berasingan, beberapa bahan abrusosida yang wujud dalam daunnya didapati 30-100 kali lebih manis daripada sukrosa. 

24akarsaga 

Famili: Leguminosae

Nama Saintifik: Abrus precatorius L.

Nama Tempatan: Saga akar, Saga betina, Akar belimbing.

DaunMajmuk, berselang seli dan pinnat sehingga 15cm in panjang, kebiasaannya 7.5 - 10cm sahaja. Mempunyai antara 8 hingga 20 pasang helaian daun yang bertentangan, panjang helaian daun 1.3 -2.5cm.

Buah: Terdapat pada bahagian hujung daun, panjang jambangan 5 - 10cm. Calyx berbentuk cawan tanpa gigi berwarna hijau muda. Kelopak bunga 1.3cm panjang berwarna merah muda dan keel berwarna putih.

Bunga: Buah atau `pod' (2.4 - 3.6 cm panjang) mengandungi beberapa biji yang kecil dan keras. Setiap `pod' mengandungi antara 4 hingga 8 biji berukuran antara 0.5 hingga 0.8cm. Bijinya licin, berkilat dan berwarna merah tua dengan bintik berwarna hitam di bahagian bawahnya.