Skip to main content

vcc

Ulang Tahun Ke-4 - Fatwa Pengharaman Merokok

Oleh: natrah@usm.my

254tahun

23 Mac 1999

Empat (4) tahun telah berlalu sejak pengumuman pengharaman tembakau yang dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal-Ehwal Islam Malaysia Ke-37 (MFK 37) pada 23 Mac 1995. Fatwa yang memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram berdasarkan kepada berbagai fakta yang pada umumnya mengambilkira kesan-kesan negatif yang diperolehi daripada tabiat menghisap rokok, baik daripada segi perubatan, sosial mahupun ekonomi.

Dalam tempoh masa empat (4) tahun ini, kenyataan fatwa itu telah dapat diperkuatkan lagi dengan beberapa peristiwa yang berlaku di seluruh dunia terutama sekali di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat. Ratusan juta ringgit telah dituntut daripada syarikat-syarikat tembakau sebagai pembayaran balik perbelanjaan kesihatan hasil daripada berbagai jenis penyakit akibat penggunaan tembakau terutamanya penyakit seperti penyakit jantung dan barah paru-paru, termasuk jugalah akibat penghiduan asap rokok secara pasif. Di samping itu, tidak kurang juga yang ketagih akibat salah satu daripada 4000 jenis bahan kimia dan racun yang terkandung di dalam rokok. Berpuluh-puluh saman telah dikenakan kepada syarikat-syarikat tembakau oleh orang perseorangan, organisasi mahupun kerajaan-kerajaan tempatan di seluruh dunia.

Langkah-langkah mengawal rokok

Dibanyak negara pengiklanan rokok secara langsung atau tidak, telah dihadkan daripada media-media awam termasuklah televisyen dan juga papan-papan iklan yang terletak di merata tempat. Amaran-amaran merokok juga diperluas dan diperketatkan termasuklah yang dicetak di kotak-kotak rokok. Negara Thai dan Kanada misalnya baru-baru ini telah mewajibkan amaran-amaran tersebut dicetak dengan jelas pada 1/3 bahagian kotak rokok tersebut. Salah satu daripada amaran tersebut adalah "Merokok mengakibatkan mati pucuk".

Begitu juga dengan tempat-tempat awam seperti restoran-restoran telah dijadikan kawasan larangan merokok secara menyeluruh. Lebih banyak syarikat penerbangan kini turut mengharamkan merokok di dalam penerbangan mereka. Malah satu syarikat penerbangan telahpun disaman oleh anak-anak kapalnya ke-rana membiarkan penumpang merokok semasa penerbangan.

Begitu jugalah keadaannya di negara ini di mana akta-akta tertentu telah digubal untuk mengurangkan tabiat merokok ini di kalangan rakyat. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat satu lagi pengumuman agar tempat-tempat makan berhawa dingin digazetkan sebagai kawasan amaran merokok. Ini bermakna pemisahan di antara kawasan merokok dan larangan merokok tidak lagi wujud apabila larangan terbaru ini berlaku.

Fatwa diperkukuhan lagi

Kesemua langkah ini diambil berasaskan bukti-bukti kukuh yang menunjukkan bahawa me-rokok adalah satu tabiat yang tidak lagi mendapat tempat di dalam masyarakat kini. Ini sudah semestinya memperkukuhkan fatwa yang diluluskan empat (4) tahun yang lalu, namun sehingga kini mendapat sambutan yang amat dingin. Oleh itu, sudah sampailah masanya fatwa ini diketengahkan dengan serius kepada masyarakat sebagai salah satu lagi motivasi untuk mengurangkan tabiat merokok khususnya di kalangan orang-orang Islam di negara ini.

Keadaan ini menjadi lebih mendesak apabila dirujuk kepada statistik yang menunjukkan bahawa lebih ramai orang-orang Islam terutama sekali kaum lelaki yang merokok di negara ini. Tambahan pula ada kecenderongan yang menunjukkan kian ramai remaja yang mula melibatkan diri dengan tabiat buruk merokok ini. Sesetengahnya masih dibangku sekolah lagi. Desakan ini lebih jelas jika diambil kira kaitan tabiat merokok dengan pe-ningkatan bilangan penagih-penagih dadah dalam lingkungan umur yang kian muda di negara kita. Sayugia dinyatakan bahawa majoriti daripada penagih-penagih ini juga adalah penghisap-penghisap rokok. Malah tabiat merokok sebenarnya adalah satu lagi bentuk penagihan seperti mana yang telah diiktirafkan oleh badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Fatwa perlu dilaksanakan

Jelasnya sejak empat tahun lalu kedudukan fatwa yang diluluskan pada 23 Mac 1995 telah lebih meyakinkan untuk kita meneruskan langkah selanjutnya. De-ngan lain perkataan, sudah sampai masa-nya fatwa ini dipopularkan di kalangan masyarakat Malaysia dan diberi taraf yang setanding dengan fatwa-fatwa lain yang telah diluluskan. Hanya dengan tindakan seumpama ini masalah merokok ini dapat diselesaikan. Jika tidak, keputusan MFK37 seolah sebagai omongan kosong belaka. Gejala ini semestinya membawa implikasi yang negatif kepada institusi fatwa itu sendiri. Masalah merokok adalah satu masalah yang serius dan memerlukan langkah-langkah yang drastik, sesuai dengan perlaksanaan fatwa yang telah diluluskan.