Skip to main content

vcc

Orlistat Ubat Berpreskripsi untuk Mereka yang Sukar Mengawal Berat Badan

Oleh: Mohamed Nazri Bin Mohamed Tahir
Orlistat Ubat Berpreskripsi untuk Mereka yang Sukar Mengawal Berat Badan

75 ms 4

 

Obesiti atau kegemukan adalah penyakit kronik yang semakin menular di Malaysia sejak 10 tahun yang lalu. Kajian National Health and Morbidity Survey (NHMS) pada tahun 2011  menganggarkan seramai 27.2% rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mengalami masalah kegemukan. Jumlah ini meningkat berbanding kajian yang dijalankan pada tahun 2006 iaitu  seramai 14%. Masalah kegemukan bukan sahaja berkaitan dengan penampilan malah pelbagai risiko penyakit boleh berlaku disebabkan kadar lemak dalam badan yang berlebihan.  Antaranya ialah penyakit kardiovaskular khususnya penyakit jantung, kencing manis dan sebagainya. Sehubungan itu, gaya hidup yang sihat serta pemakanan yang seimbang adalah kaedah terbaik untuk mengatasi masalah obesiti. Namun, ada juga individu terutamanya mereka yang mempunyai faktor risiko yang tinggi perlu mendapatkan rawatan bagi mengawal  masalah obesiti daripada mengakibatkan komplikasi kesihatan yang lebih teruk. Pelbagai kaedah rawatan diperkenalkan oleh pengamal perubatan antaranya khidmat kaunseling, pembedahan dan ubatubatan. Salah satu ubat berpreskripsi yang berkesan mengawal obesiti adalah Orlistat. 

Apa itu orlistat dan bagaimana ia berfungsi? 

Orlistat digunakan untuk merawat obesiti dengan cara menghalang penyerapan lemak yang diambil dalam diet seharian. Orlistat bertindak sebagai perencat enzim lipase (lipase inhibitor)  iaitu bahan semula jadi yang mengurangkan aktiviti enzim lipase di dalam usus manusia. Apabila fungsi lipase berkurangan, semakin kuranglah lemak diserap ke dalam usus. Lemak  seterusnya akan dikumuhkan melalui najis yang akhirnya membantu dalam penurunan berat badan dan menghalang penambahan kalori dalam badan. Selain itu, orlistat turut membantu  mengurangkan tekanan darah tinggi dan mengawal kencing manis (diabetes type 2) kesan daripada penurunan berat badan. 

Siapa yang sesuai mengambil orlistat? 

Orlistat ialah ubat yang  dipreskripsi oleh doktor kepada pesakit obes yang gagal menurunkan berat badan dalam tempoh 6 bulan serta mempunyai dua daripada risiko- risiko seperti berikut :
● Penyakit jantung 
● Kencing manis 
● Darah tinggi 
● Angin ahmar atau strok 
● Kandungan lemak yang tinggi dalam badan 
● Ukur lilit pinggang yang melebihi 90 cm bagi lelaki atau 80 cm bagi perempuan
Body Mass Index (BMI) melebihi atau sama dengan 30 kg/m2

Setelah meneliti risiko yang dialami oleh pesakit dan manfaat yang akan diperolehi, barulah doktor akan membuat keputusan untuk memulakan ubat orlistat ini. Rawatan yang diberikan  adalah untuk jangkamasa panjang selama maksimum 2 tahun. Sepanjang tempoh ini doktor akan memantau tahap kesihatan pesakit secara berkala termasuk melihat corak pemakanan,  aktiviti fizikal yang dilakukan, perubahan psikologi dan seterusnya memberi nasihat sewajarnya. 

Siapa yang tidak sesuai mengambil orlistat? 

Individu dalam kategori berikut adalah tidak disarankan untuk mengambil orlistat atau perlu nasihat yang lebih terperinci dari segi kaedah pengambilannya :
● Alergik ubat. Sila dapatkan nasihat daripada doktor.
● Individu di bawah umur 18 tahun terutamanya kanak-kanak.
● Wanita hamil atau menyusu.
● Individu yang mengalami malabsorption syndrome iaitu penyerapan makanan berlaku dengan kurang baik.
● Mengalami masalah cholestasis iaitu keadaan di mana aliran hempedu dalam badan berlaku dengan kurang baik.
● Individu yang mengambil ubat seperti warfarin, acarbose, ciclosporin, levothyroxine, beberapa ubat rawatan sawan dan banyak lagi kerana orlistat mempunyai kesan interaksi ubat. Sila   maklumkan kepada doktor sekiranya mengambil sebarang ubat sebelum memulakan orlistat. 
● Orlistat juga memberi kesan kepada tindakbalas pil perancang terutamanya bagi mereka yang mengalami gejala cirit-birit yang teruk.
● Individu yang pernah mengalami kesan sampingan akibat pengambilan orlistat. 

Pesakit tidak boleh mengharapkan kepada kesan perubatan orlistat semata-mata sebaliknya tabiat gaya hidup yang sihat seperti senaman dan pemakanan yang sihat perlu diteruskan.  Orlistat hanya menyerap sebahagian sahaja molekul lemak (anggaran satu per tiga) yang diambil dalam makanan. Oleh itu, elakkan pengambilan makanan yang tinggi lemak iaitu makanan 
yang melebihi 30% kandungan lemaknya. Sila rujuk label pada bungkusan makanan atau lakukan carian di internet untuk mengetahui komposisi makanan yang diambil. Dapatkan nasihat daripada doktor sebelum memulakan sebarang aktiviti senaman untuk mengelakkan kecederaan atau kesan sampingan yang lain. Walaupun orlistat berkesan menurunkan berat badan,  namun pesakit boleh mengalami pertambahan berat badan semula selepas ubat ini dihentikan pengambilannya. Oleh itu, amalan gaya hidup sihat adalah jalan terbaik untuk kekalkan  berat badan yang ideal. 

Orlistat di pasaran Malaysia

Buat masa ini hanya terdapat enam produk orlistat yang berdaftar di pasaran Malaysia. Kebanyakkan produk orlistat tersedia dalam bentuk kapsul dengan dua kekuatan iaitu 60 mg dan  120 mg. Walaupun di beberapa negara, Orlistat pada dos rendah 60 mg dijual sebagai ubat over-thecounter (OTC) yang boleh dibeli sendiri di farmasi. Namun di Malaysia, penggunaan orlistat hanya dibenarkan dengan perskripsi atau nasihat daripada doktor. Oleh itu, ubat kurus berasaskan herba yang dipasarkan di Malaysia tidak boleh mengandungi orlistat. Sekiranya 
dikesan, produk-produk ini boleh dirampas oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi seterusnya siasatan akan dijalankan. Bagi produk yang tidak berdaftar kes akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan individu boleh didenda RM25,000 dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh didenda sehingga RM 50,000 untuk 
kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. Bagi kesalahan produk kesihatan yang dicampur palsu dengan racun berjadual orlistat pula, kes akan disiasat di bawah  Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 3000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Masyarakat perlu berhati-hati memilih produk kurus

Sila rujuk portal NPRA http://npra.moh.gov.my/ untuk mengetahui status ubat anda sama ada berdaftar atau tidak dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain orlistat, terdapat  pelbagai lagi bahan campurpalsu di dalam ubat kurus di pasaran Malaysia. Salah satu bahan campur palsu yang popular dan sering ditemui dalam ujian makmal PRNLab Pusat Racun  Negara ialah Sibutramine. Oleh itu, diharap masyarakat lebih peka terhadap isu bahan campurpalsu dalam produk kurus di Malaysia. Elakkan membeli ubat atau produk kesihatan yang  tidak berdaftar dan tidak dapat dipastikan kesahihannya. Periksa maklumat pada label, semak dengan portal NPRA seterusya buatlah pilihan yang bijak demi kesihatan dan kesejahteraan anda.