Skip to main content

vcc

Kelab Nafas Baru

Oleh: natrah@usm.my

Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya

Sejarah Kelab

Kelab Nafas Baru ditubuhkan pada 10 April 1998 dan ia merupakan Kelab Bebas Merokok yang pertama diwujudkan di sekolah di negara ini. Ini ekoran daripada kesedaran beberapa orang pelajar tingkatan 2 yang telah mengunjungi kaunselor pelajar sekolah tersebut, Encik Lim Beng Kung, untuk menyatakan keinginan mereka untuk berhenti merokok.

Pelajar-pelajar tersebut insaf dan sedar akan berbagai masalah yang mereka hadapi terutama sekali daripada segi kesihatan dan juga tekanan jiwa. Mereka memberitahu tentang rasa sakit di bahagian dada dan seringkali terbatuk-batuk akibat daripada tabiat merokok. Tidak kurang juga yang sentiasa dimarahi ibu bapa agar mereka berhenti daripada tabiat buruk ini. Ramai di antara pelajar-pelajar tersebut membuang masa mereka kerana sibuk mencari tempat yang tersorok untuk memenuhi ketagihan merokok mereka. Ini semua berlaku menjelang Ramadhan pada tahun 1997.

Berikutan kunjungan ini, sesi kaunseling telah diadakan untuk membantu mereka dalam mengatasi masalah ini. Guru kaunselor kemudian menghubungi Pusat Racun Negara (PRN) untuk mendapatkan nasihat lanjut tentang masalah merokok di kalangan pelajar sekolah. Hasil daripada perjumpaan ini, satu ceramah telah diadakan dengan hampir dua ratus (200) orang pelajar tingkatan 1, 2 dan 3 di Perpustakaan sekolah.Tujuannya adalah untuk memberi penerangan tentang aspek-aspek kesihatan akibat merokok. Ini kemudiannya disusuli dengan perjumpaan khas yang secara sukarela dihadiri oleh kira-kira empat puluh (40) orang pelajar di bawah kelolaan guru kaunselor. Perjumpaan selama hampir 3 jam membincangkan lebih mendalam penglibatan mereka dengan tabiat merokok serta cara-cara mengatasinya. Salah satu daripada keputusan yang diambil adalah untuk menubuhkan sebuah persatuan bagi membolehkan pelajar-pelajar berdikari dalam usaha untuk menangani masalah yang mereka sama-sama hadapi. Maka lahirlah Kelab Nafas Baru yang pertama di negara ini.

Kelab ini kini telah mula mengembangkan sayapnya diatas jemputan sekolah-sekolah lain yang ingin menubuhkan kelab yang sama. Ahli-ahli Kelab Nafas Baru SMKSJ telah dilatih oleh Encik Lim untuk bertindak sebagai fasilitator bagi maksud ini. Sekali lagi ahli-ahli kelab ini telah menunjukkan iltizam mereka 'ke arah sekolah bebas tembakau' melalui cogan kata 'Azam Baru! Nafas Baru'

Objektif

  1. Membantu pelajar-pelajar berhenti merokok.
  2. Meningkatkan imej kendiri pelajar.
  3. Membantu pelajar mencapai perkembangan seimbang daripada segi rohani, mental, emosi dan fizikal.
  4. Sebagai satu sumber kepakaran untuk pelajar di sekolah lain bagi mendapatkan bantuan dalam keazaman berhenti merokok.

Keahlian 1999

Pada mulanya keahlian kelab ini dihadkan kepada mereka-mereka yang berke-inginan untuk berhenti merokok sahaja. Ini terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 3 ke bawah khasnya dan keanggotaan asal kelab ini adalah anggaran empat puluh (40) orang dan kesemuanya terdiri daripada pelajar-pelajar lelaki. Selepas mengendalikan aktiviti untuk beberapa waktu, adalah dirasakan bahawa keahlian kelab ini boleh diperluaskan lagi supaya ianya dapat disertai oleh pelajar-pelajar yang juga bukan perokok sebagai satu langkah pro-aktif bagi mencegah merebaknya masalah ini. Ia juga mengambil pelajar-pelajar perempuan sebagai ahli kelab tersebut.

Oleh yang demikian, tiga (3) kategori pelajar sekarang boleh memohon untuk menjadi ahli Kelab Nafas Baru. Ini terdiri daripada:

a. pelajar yang masih merokok,
b. pelajar yang sudah berhenti merokok, dan
c. pelajar yang bukan perokok.

Bilangan ahli sekarang ini terdiri daripada lapan puluh lima (85) orang.

Penambahan bilangan ahli kelab ini mengambarkan bahawa pelajar-pelajar daripada sekolah berkenaan sudah mula menginsafi tentang bahaya tabiat merokok ini dan merasa yakin untuk melibatkan diri dalam Kelab Nafas Baru untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan aktiviti agar dapat menghindari daripada perbuatan seumpama ini. Setakat ini, sepuluh (10) orang sudah berjaya sepenuhnya berhenti merokok dan beberapa orang lagi adalah di dalam tahap probasi iaitu sedang mengalami proses untuk berhenti merokok sepenuhnya. Sila rujuk laman web untuk maklumat lanjut.N

Peraduan Mencipta Logo Kelab Nafas Baru Dapat Sambutan Baik

Dalam usaha untuk memperkenalkan lagi Kelab Nafas Baru kepada masyarakat umum khususnya para pelajar di sekolah-sekolah, Pusat Racun Negara dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri serta Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan satu peraduan mencipta logo bagi Kelab tersebut. Antara lain, tujuan peraduan ini adalah untuk memberi satu identiti yang mantap kepada usaha-usaha yang telah dijalankan selama ini agar Kelab Nafas Baru dapat menarik lebih ramai ahli-ahli daripada sekolah-sekolah bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi di seluruh negara.

Sehingga ini lebih daripada lima puluh (50) hasil ciptaan telahpun diterima daripada berbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar-pelajar sekolah dan juga institusi pengajian tinggi. Semua hasil ciptaan ini akan dihakimi oleh satu pasukan pengadil dan pemenangnya akan diumumkan tidak lama lagi. Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang telah bermurah hati untuk menyediakan hadiah-hadiah bagi pemenang peraduan mencipta logo. Adalah diharapkan bahawa dengan adanya logo Kelab Nafas Baru yang rasmi ini, pergerakan untuk membanteras merokok di kalangan pelajar dapat dipergiatkan lagi sebagai satu contoh teladan kepada para perokok dewasa khususnya menjelang Ramadhan nanti.