Skip to main content

vcc

Lawatan Lembaga Racun Makhluk Perosak ke Pusat Racun Negara

Oleh: Rosman Ahmad

 

main60

Tanggal 8 Mac 2018 merupakan satu tarikh yang amat bermakna kepada Pusat Racun Negara (PRN) dan warganya. Pada tarikh ini, PRN menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Teknikal Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP), Jabatan Pertanian Malaysia buat julung kalinya. Seramai lebih kurang 40 orang Ahli Jawatankuasa LRMP dari pelbagai agensi menyertai lawatan ini yang diketuai oleh Encik Mohd Fauzan bin Yunus, Pengarah Bahagian Kawalan Racun Makhluk Perosak.

Mengimbau kembali 28 tahun yang lalu, 9 Mac 1990, Jawatankuasa yang sama telah melawat Perkhidmatan Maklumat Ubat-ubatan dan Racun Bersepadu, USM untuk dinilai dan dibandingkan dengan Pusat Keracunan Kebangsaan, Jabatan Farmakologi UKM seterusnya dicadangkan sebagai Pusat Racun Negara Malaysia.

Laporan Jawatankuasa ini menyatakan “…tidak dapat dinafikan bahawa Perkhidmatan Ubat-ubatan dan Racun Bersepadu hasil usaha dan reka cipta Pusat Pengajian Sains Farmasi, USM merupakan satu kejayaan yang sangat memberangsangkan. Sistem yang direka bentuk itu sehingga kini, bukan sahaja merupakan program perintis di negara ini bahkan ia adalah satu-satunya usaha pertama diperkenalkan di rantau Asia.”

Cadangan dan sokongan daripada Jawatankuasa ini telah membawa kepada terzahirnya Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia. Kini setelah 28 tahun, perkhidmatan PRN masih berjalan dan terus berkembang. Banyak hasil dan produk yang dipamerkan turut mengagumkan Ahli Jawatankuasa yang hadir.
Encik Mohd Fauzan menyatakan, LRMP bersetuju untuk menjalin kerjasama lebih erat dalam menangani insiden keracunan bahan-bahan kawalan makhluk perosak dan memberi sokongan penuh kepada usaha PRN untuk membangunkan satu pangkalan data racun makhluk perosak di Malaysia.
Beliau juga begitu teruja dengan produk-produk yang telah dihasilkan oleh PRN dalam usaha menyampaikan maklumat dan pendidikan berkaitan toksikologi kepada masyarakat. Beliau membayangkan kerjasama antara LRMP dan PRN dalam mendidik masyarakat berkaitan racun dan keracunan mampu mengurangkan jumlah keracunan racun makhluk perosak di Malaysia.