Skip to main content

vcc

PRN dan Yayasan Sabah Terajui Kajian Keracunan Plumbum di Tadika

Oleh: natrah@usm.my

Dalam ucapannya sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia dan Yayasan Sabah, Y.Bhg. Dato' Prof. Ishak Tambi Kechik, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia menganggap ini sebagai satu lagi langkah di mana PRN dapat memainkan peranan yang berkesan dalam menangani isu-isu keracunan. Ini adalah selaras dengan perancangan yang telah ditetapkan di bawah RM7, di mana PRN akan memperluaskan perkhidmatannya kepada aktiviti-aktiviti makmal toksikologi, di samping aktiviti-aktiviti lain. Dalam perkembangan serta pembangunan negara yang begitu pesat, berbagai peristiwa serta kemalangan didapati berlaku. Malah, mengikut statistik yang dikumpulkan oleh PRN, pada tahun ini sahaja sebanyak 46.7% melibatkan keracunan pestisid, 24.6% farmaseutikal (ubat-ubatan) dan 17.4% sediaan kegunaan rumahtangga. Di antaranya merupakan kes-kes yang agak serius dan kebanyakannya boleh dicegah sekiranya langkah yang sewajarnya dapat diambil. Melalui MOU ini, satu kajian akan dijalankan bertajuk Kajian Pendedahan Plumbum Terhadap Kanak-Kanak Pra-Sekolah di Sabah. Ini merupakan satu langkah proaktif yang seharusnya diberi penekanan dalam usaha kita mencegah terjadinya kes-kes keracunan. Di negara maju, keracunan plumbum seperti ini telah dikaji secara mendalam dan mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang berkaitan.

Menurut Pengarah dan Ketua Eksekutif Yayasan Sabah pula, tujuan mengadakan upacara menanda-tangani perjanjian persefahaman ini adalah agar dapat berusaha sama dalam pengendalian kajian racun plumbum ke atas kanak-kanak tadika di Sabah. Setelah meninjau kepakaran yang ada pada beberapa universiti di Malaysia, akhirnya Yayasan Sabah mengenalpasti bahawa USM adalah universiti yang sesuai sekali kerana penglibatan universiti ini dengan Pusat Racun Negara. Mengikut beliau, Yayasan Sabah bangga kerana dapat menyumbang dalam kajian ini yang merupakan yang pertama kali dilaksanakan di negara ini. Pengendalian kajian selama enam (6) bulan ini adalah langkah yang pertama untuk membantu negara Malaysia supaya dapat mengenalpasti darjah ketinggian pendedahan plumbum di kalangan kanak-kanak di negeri Sabah dan sekaligus dapat membantu kanak-kanak yang telah mengalami keracunan tinggi mendapat rawatan yang sesuai.

Berdasarkan kepada penemuan satu kajian lain yang dijalankan secara mikro di beberapa tadika di sekitar Kota Kinabalu, Sabah pada tahun 1988, telah memperlihatkan ramai kanak-kanak menghadapi masalah tingkahlaku dan pengajaran mereka. Walau bagaimanapun, kajian itu tidak dapat memberikan gambaran jelas tentang kesan-sebabnya, tetapi boleh diambilkira sebagai salah satu aspek yang mungkin diakibatkan dari keracunan plumbum.

Yayasan Sabah berharap perjanjian persefahaman ini dapat membuka ruang agar langkah-langkah pencegahan dapat diambil supaya kanak-kanak pra-sekolah tidak terdedah sewenang-wenangnya kepada keracunan plumbum.

KERACUNAN PLUMBUM PUNCA & PENCEGAHAN