PRN Jalin Kerjasama dengan Kelab Leo dalam Usaha Pendidikan Bahaya Ecstasy
Masalah penyalahgunaan najis dadah dalam kalangan remaja merupakan masalah sosial yang makin membimbangkan di Malaysia. Masalah ini berpunca daripada sifat ingin mencuba benda baru yang sedia ada dalam diri setiap remaja. Ini ditambah pula dengan sesetengah golongan remaja yang tidak memberi perhatian serius terhadap kesihatan dan keselamatan diri malah tanpa memikirkan bahawa tindakan itu boleh menyebabkan masalah yang berterusan. Atas kesedaran ini, Pusat Racun Negara telah menjalin kerjasama dengan sebuah badan remaja, Leo Club dalam usaha mendidik golongan remaja agar sentiasa peka tentang bahaya ketagihan najis dadah dan dadah sosial. Remaja harus disedarkan bahawa tindakan atau perbuatan yang pada awalnya dilakukan secara suka-suka akhirnya boleh mengakibatkan diri mereka terperangkap dengan masalah ketagihan sepanjang hayat. Kerjasama ini dipilih kerana Leo Club dapat bertindak sebagai rakan sebaya kepada golongan remaja untuk menerangkan masalah ketagihan najis dadah ini.
Majlis pelancaran program tersebut telah dilancarkan oleh Dato’ Koay Kar Huah, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 28 Oktober 2000. Beliau telah memuji usaha PRN dalam pendekatannya kepada golongan remaja dan berharap dapat dijadikan sebagai model kepada usaha memasyarakatkan institusi-institusi di dalam universiti kepada rakyat Negeri Pulau Pinang. Program selama 6 bulan mulai 1 Oktober 2000 sehingga 31 Mac 2001 ini, melibatkan aktiviti-aktiviti pameran dan ceramah yang menerangkan bahaya najis dadah seperti ganja dan ecstasy dan bahan yang boleh menyebabkan ketagihan (gateway substances) seperti alkohol dan rokok. Program ceramah dan pameran yang diadakan merupakan sebahagian dari kempen yang dikenali sebagai “Youth and Substance Abuse”.
Langkah ini merupakan sumbangan PRN kepada golongan remaja dalam mengetahui bahaya ketagihan najis dadah. Usaha ini merupakan kesinambungan kepada program pembangunan rakan sebaya yang serupa iaitu Kelab Nafas Baru yang bertumpu kepada usaha mendidik kalangan pelajar sekolah menengah untuk menyedari tentang bahaya tembakau dan ketagihan terhadap nikotin.
Diharapkan program pendidikan yang melibatkan peranan rakan sebaya ini akan dapat menimbulkan kesedaran tentang bahaya penggunaan najis dadah dalam kalangan remaja. Selanjutnya, adalah diharapkan masalah penagihan najis dadah pada golongan remaja dan murid sekolah dapat dibenteras pada peringkat lebih awal lagi melalui program pendidikan seperti ini. Kesedaran mendalam dan pengetahuan luas mengenai akibat ketagihan dan juga kesan yang dihasilkan oleh bahan najis dadah ini boleh membantu mencegah masalah ketagihan di peringkat awal sebelum ianya menjadi barah yang tidak dapat diubati.