Skip to main content

vcc

PRN 1998: Kegawatan & Kecemerlangan

Oleh: natrah@usm.my

Tahun 1998 umumnya telah memaksa banyak perubahan dilakukan memandangkan Pusat Racun Negara (PRN) tidak terkecuali daripada tekanan ekonomi yang dirasai oleh semua peringkat. Walaupun kes-kes keracunan yang dilaporkan kepada PRN meningkat dua (2) kali ganda berbanding tahun 1995 apabila ianya mula beroperasi, namun banyak daripada aktiviti-aktiviti susulan yang pernah dijalankan terpaksa dikurangkan. Ini sedikit sebanyak telah menjejaskan perancangan yang telah diatur terutama sekali daripada segi penyebaran maklumat melalui media-media cetak yang juga mengalami tekanan ekonomi yang sama. Turut terjejas adalah perancangan penyelidikan yang telah dipersetujui dengan beberapa agensi luar memandangkan banyak di antaranya terpaksa ditunda hingga kepada tahun-tahun berikut. Impak daripada perkembangan ini walau bagaimanapun telah dapat dikurangkan sejauh mana yang boleh melalui berbagai langkah pengurusan yang berhemat supaya pelanggan PRN terus dapat merasakan bahawa kebajikan mereka dalam hal-hal keracunan tidak terabai.

Sungguhpun begitu, tahun 1998 merupakan satu tahun yang dikira bersejarah bagi PRN. Tahun ini menampakkan satu lonjakan pencapaian apabila PRN diiktiraf sebagai Pusat Kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tentang Maklumat Ubat-ubatan dan Dadah pada 6 April 1998. Ini sekaligus merupakan pengiktirafan antarabangsa di atas kewibawaan PRN sebagai sebuah pusat cemerlang bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa. Pengiktirafan ini adalah satu-satunya bagi rantau Asia Pasifik dan PRN sekali lagi muncul sebagai perintis di dalam bidang tersebut. Melalui pengiktirafan ini, PRN bertanggungjawab untuk mengendalikan program tertentu bagi negara-negara lain di bawah naungan WHO khususnya di rantau Asia Pasifik. Beberapa perancangan sedang giat dilakukan agar mandat yang diberikan kepada PRN akan dapat dilaksanakan dalam tahun 1999 dan seterusnya di alaf baru yang akan muncul kelak.

Satu lagi pengiktirafan yang agak bersejarah adalah penerimaan Anugerah Kualiti Universiti Sains Malaysia (USM) 1998 bagi Sektor Perkhidmatan. Ini juga merupakan satu satunya anugerah yang terulung di antara jabatan-jabatan di USM. PRN telah dipilih di atas lapan (8) kriteria yang digariskan oleh pihak Universiti berdasarkan kepada kriteria Anugerah Perdana Menteri. Anugerah telah disampaikan oleh Y.Bhg. Dato' Naib Canselor sempena Bulan Kualiti USM pada 7 Oktober 1998.

Dalam pada itu, Prof. Madya Mohamed Isa Abd. Majid, Ketua Makmal Toksikologi, PRN yang mengetuai kumpulan penyelidik tentang plastik bioterosot telah berjaya meraih pingat perak dalam Pameran Antarabangsa Rekacipta, Inovasi, Rekabentuk Industri dan Teknologi (I.TEX) 1998 diadakan di Kuala Lumpur pada 10-13 Oktober 1998. Kejayaan ini adalah di atas dasar penyelidikan yang inovatif.

Ketiga-tiga peristiwa bersejarah ini meletakkan PRN dalam satu kedudukan yang lebih unggul sebagai sebuah Pusat Cemerlang untuk bergerak dengan lebih cergas lagi bagi mempastikan pencapaian misinya: "Untuk mengurangkan mortaliti, morbiditi, kemalangan dan kos akibat keracunan melalui pendekatan yang menitikberatkan ciri-ciri kecemerlangan, keprihatinan dan inovatif".

Sayugia dicatatkan bahawa pada tahun 1995, PRN telah mendapat Anugerah "Product Stewardship" CCM Bioscience daripada Y.B. Menteri Pertanian, dan pada tahun berikutnya disenaraikan dalam "The Malaysia Book of Records" (halaman 183) sebagai pusat racun yang terulung di negara ini. Pada 1999, PRN akan terus berusaha untuk memberi perkhidmatan yang lebih bermakna kepada semua pelanggan-pelanggannya sama ada di peringkat negara maupun antarabangsa.

Sementara itu PRN ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi apa juga sokongan dan bantuan untuk membolehkan PRN menempa kejayaan dalam tahun 1998. Selamat Tahun Baru.