Skip to main content

vcc

‘ Magic Mushroom’ BUKAN PERISA dalam Vape!

Oleh: Mohd Fadhli Razali

73 ms 6

 

Sejak kebelakangan ini, Pusat Racun Negara telah menerima beberapa panggilan berkaitan kes keracunan dan pertanyaan mengenai cendawan ajaib atau lebih
dikenali sebagai
magic mushroom yang terkandung atau ditambah ke dalam vape.

Ada yang menganggap magic mushroom adalah perisa di dalam vape sama seperti perisa strawberi, perisa kopi, perisa mangga dan sebagainya.

Hakikatnya, magic mushroom bukan sejenis perisa tetapi ia merujuk kepada ekstrak bahan aktif yang terkandung di dalam cecair vape iaitu, psilosibin yang sengaja ditambah ke dalam vape untuk mendapatkan kesan halusinogen seperti berhalusinasi, keseronokan yang melampau, dan mungkin tidak sedarkan diri sepenuhnya.

AWAS! Pendedahan buat kali pertama bahan ini boleh mengakibatakan anda terpaksa menginap di hospital. Pengambilan psilosibin berisiko menyebabkan muntah dan cirit-birit yang berpanjangan, rasa kebas di seluruh badan, degupan jantung menjadi laju, berpeluh-peluh dan boleh mengakibatkan sawan seawal 10 minit pengambilan. Lebih malang lagi, tiada rawatan khusus dan tiada ujian air kencing yang dapat mengesahkan pendedahan terhadap psilosibin menyebabkan proses rawatan menjadi lebih sukar.

Lebih membimbangkan, vape yang mengandungi magic mushroom ini juga semakin mendapat banyak permintaan daripada penghisap vape. Ini dibuktikan apabila rampasan dadah oleh pihak berkuasa mendapati lambakan stok bahan ini dibawa masuk ke pasaran Malaysia secara haram. Daripada segi undang-undang, psilosibin adalah bahan yang menyebabkan ketagihan yang dikawal di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952 sama seperti ganja, heroin dan juga morfin.

Pusat Racun Negara sekali lagi mengingatkan bahawa magic mushroom BUKAN PERISA di dalam vape. Elakkan diri anda dan yang tersayang daripada menjadi mangsa keracunan dadah berbahaya magic mushroom. Jangan hanya inginkan keseronokan sementara, sengsara selamanya.