Skip to main content

vcc

PUSAT RACUN NEGARA ANJUR PERSIDANGAN BERTARAF DUNIA

Oleh: Sulastri Samsudin

apamt1

 

Sejarah terukir sekali lagi apabila Pusat Racun Negara telah dipilih menjadi penganjur The 18th Scentific Congress of the Asia Pacific Association of Medical Toxicology (APAMT 2019) bersama-sama dengan College of Emergency Physicians (CEP) dan Malaysian Society on Toxinology (MST). Terdahulu, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada persidangan antarabangsa ini pada tahun 2001 dan 2011 di Pulau Pinang. Pada tahun ini, persidangan ini telah diadakan di Putrajaya dan telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia yang juga seorang pakar toksikologi perubatan. 

apamt2

Gambar 2: Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia sambil disaksikan oleh Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Presiden APAMT, Profesor Ashish Bhalla 

Tema persidangan pada kali ini Facing Challenges in Toxicology: Fusing Technology and People adalah amat bertepatan dan seiring dengan era revolusi industri 4.0 pada masa kini. Persidangan ini telah menarik minat seramai lebih 200 pakar perubatan, pakar toksikologi dan penyelidik daripada 27 buah negara di seluruh dunia untuk berkumpul dan membincangkan serta berkongsi pengalaman mengenai perkembangan terbaru isu-isu berkaitan toksikologi. 

Tiga bengkel pra-persidangan yang dianjurkan turut mendapat sambutan baik daripada peserta. Bengkel -bengkel tersebut merangkumi isu terkini seperti pengurusan kes pencemaran bahan kimia, patukan ular dan haiwan berbisa serta keracunan alkohol tercemar yang telah menggemparkan negara dalam tahun ini. Demonstrasi pengurusan bencana oleh pihak HAZMAT, Jabatan Bomba Malaysia menjadi tarikan utama semasa sesi pra-persidangan. 

Program saintifik persidangan APAMT 2019 telah dijayakan oleh lebih 25 penceramah jemputan daripada pelbagai bidang kepakaran. Malahan, abstrak yang diterima juga amat memberansangkan untuk pembentangan oral dan poster. Sebanyak 63 pembentangan oral dan 84 pembentangan poster telah berlangsung sepanjang program dengan jayanya. 

Penganjuran APAMT 2019 adalah satu penghormatan buat PRN yang menyambut ulangtahun ke-25 penubuhannya dan ia juga salah satu program yang dijanjikan sempena sambutan 50 tahun USM pada tahun ini. Tambahan dari itu, Asia Pasific Association of Medical Toxicology (APAMT) turut meraikan sambutan 30 tahun penubuhannya iaitu daripada tahun 1989 hingga 2019. Ini diserikan lagi dengan kehadiran penerima anugerah APAMT Honorary Fellow kali ini, Profesor Ravindra Fernando daripada Sri Lanka yang merupakan individu awal yang terlibat dalam penubuhan APAMT tiga dekad yang lalu. 

Acara gilang-gemilang ini telah mendapat sokongan dan penajaan daripada beberapa agensi terkemuka seperti Organisation for Prohibition of Chemical Weapons (OPCW), Prevor, Syngenta, Methanol Institute, Ubisson, Toxinz dan juga USAINS Biomics. 

Semoga penganjuran APAMT kali ini berjaya mengangkat USM dan juga Malaysia di mata dunia. Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan pada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung!

Dari Bali ke Putrajaya
Tahun depan ke Kerala pula
APAMT 2019 persidangan antarabangsa
Menjadi medan ilmuwan berbicara
 
Keracunan bahan kimia sengatan berbisa
Topik dibincang dalam arena
Mengurus bencana merawat yang luka
Itu matlamat persidangan bersemuka 

apamt3

Gambar 3: Lawatan YB Menteri Kesihatan ke ruang pameran Pusat Racun Negara

 

apamt4

Gambar 4 : Sekretariat APAMT bertungkus lumus memastikan pendaftaran peserta berjalan dengan lancar

 

apamt5

Gambar 5 : Sebahagian delegasi APAMT mengabadikan kenangan bersama pada malam GALA DINNER