Skip to main content

vcc

Seminar Kebangsaan Tembakau, Kesihatan dan Islam

Oleh: natrah@usm.my

Tarikh: 3-5 Januari 1997 (23-25 Syaaban), Pulau Pinang

Seramai 140 peserta Kementerian Kesihatan, pelajar sekolah dan universiti serta orang awam yang ingin berhenti dari tabiat buruk merokok menghadiri seminar anjuran Pusat Racun Negara dan Pusat Islam, USM ini.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri (Dr.) Haji Hamdan bin Sheikh Tahir, SMN., PSM., DUPN., DP., DMPN., KMN. Dalam ucapan perasmian, beliau mengesa supaya suatu pendekatan baru diperlukan bagi menangani masalah tembakau dan hasilan tembakau memandangkan penemuan terbaru telah membuktikan kesan buruk dan ketagihan yang dihasilkan oleh bahan-bahan tersebut. Kesan ketagihan tembakau seperti yang diperakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu diberi liputan media yang meluas kerana ini menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan ketara di antara dadah dan rokok. Beliau juga meminta badan-badan agama supaya menyatakan pendirian yang tegas dalam isu tembakau dan hasilan tembakau berdasarkan kepada pegangan agama masing-masing. Usaha ini penting kerana pendekatan kesihatan kadang kala didapati tidak mencukupi untuk menyakinkan perokok supaya membuang tabiat buruk merokok. Beliau juga menyatakan usaha Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mengeluarkan fatwa pengharaman merokok pada 23 Mac 1995 sebagai langkah yang tepat dan wajar dalam mencegah tabiat buruk merokok. Di samping itu, beliau memuji usaha perkembangan perundangan yang dilaksanakan oleh kerajaan yang meluaskan zon larangan merokok kepada institusi pengajian tinggi kerana hasil kajian telah menunjukkan bahawa kebanyakan perokok memulakan tabiat merokok semasa peringkat umur remaja seperti pelajar universiti. Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan, TYT Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang menyeru perokok di kalangan umat Islam supaya mengambil kesempatan untuk berhenti merokok kerana berpuasa diketahui memperkuatkan azam serta kesabaran diri dalam menempuh cabaran seperti di dalam tabiat merokok.

Sebelum daripada itu, Y. Bhg. Dato' Profesor Ishak Tambi Kechik, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia selaku tuan rumah mengalu-alukan kedatangan dan penyertaan peserta ke seminar tersebut. Dalam ucapan alu-aluan, beliau menekankan betapa pentingnya suatu kaedah yang berkesan dibangunkan bagi tujuan membantu perokok untuk membuang tabiat buruk merokok. Sambil mengambil contoh dari satu kajian yang dilakukan di kalangan pelajar USM, sebanyak 82 peratus perokok ingin membuang tabiat buruk tersebut tetapi merasakan sukar berbuat demikian disebabkan oleh ketagihan niktotin. Beliau juga menyatakan bahawa sebanyak 96 peratus perokok di kalangan pelajar kampus USM menyedari tentang bahaya dan keburukan perbuatan merokok serta kaitannya kepada kanser dan penyakit pernafasan. Dalam hal ini, beliau menambah bahawa tabiat buruk masih diteruskan disebabkan oleh ketagihan yang disebabkan oleh nikotin yang terdapat di dalam rokok.

Ucap utama seminar dibentangkan oleh Y. Bhg. Dato' Profesor Emeritus Haji Shahnon Amad selaku Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia. Semasa pembentangan kertaskerja, beliau menerangkan bahawa fitrah manusia terdiri dari perangai atau fe'el positif (kebaikan) dan negatif (kejahatan). Dalam hal ketagihan merokok, beliau menganggap bahawa walaupun bahaya serta kemudaratan merokok telah banyak diketahui dan diterangkan namun disebabkan fitrah negatif yang tidak dapat diatasi oleh diri sendiri menyebabkan tabiat merokok diteruskan. Beliau juga menimbulkan tentang peringatan dari Allah tentang penjagaan diri sendiri, menjaga orang lain dan menjaga alam yang indah sebagai peringatan tentang keburukan tabiat merokok. Sebagai panduan, surah Al-A'raaf: 157 membawa maksud bahawa "Nabi itu (Muhammad SAW) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka yang buruk-buruk" menunjukkan betapa kita dilarang melakukan sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan kita dan yang boleh mengancamkan kehidupan kita. Tambahan itu, ayat Al-Quran tersebut menunjukkan tabiat merokok jelas termasuk dalam kategori yang merosak dan mengancam kesihatan diri sendiri, orang lain dan alam sekitar. Sambil berpandukan kepada dua hadith Nabi SAW yang diriwayatkan dari al-Bukhari, Ahmad & ad-Darimi bahawa Rasulullah SAW melarang mensia-siakan harta benda dan dari Ahmad & Abu Daud menerusi Ummu Salamah bahawa Rasulullah melarang daripada setiap yang memabuk dan melesukan tubuh dan fikiran, beliau menyatakan bahawa tabiat merokok merugikan dalam setiap aspek, mensia-siakan harta benda, mensia-siakan perkembangan dan fikiran.

Di antara panduan-panduan yang dirujuk dari Al-Quran dalam menangani tabiat merokok, Profesor Shahnon juga memetik surah An-Nisaa': 43 dan Al-Anfaal: 22 yang menunjukkan bahawa tabiat merokok dapat menjejas akal manusia yang merupakan salah satu anugerah Allah serta proses kematangannya. Sekirannya akal tidak dijaga, kesan yang dikhuatiri berlaku ialah alam ini tidak dapat dimakmurkan serta menyebabkan tiada perbezaan di antara haiwan dan manusia. Dalam hal pembaziran, Profesor Shahnon menyatakan dengan tegasnya bahawa pembaziran dalam menanggung tabiat merokok adalah perangai syaitan dan bermakna menjauhkan diri dari Allah serta kebenaran. Dalam hal ini, peringatan dari surah Al-Israa': 27 ditekankan oleh beliau iaitu Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah saudara syaitan sedangkan syaitan itu sangat mengingkari Tuhannya.

Pedoman lain yang disampaikan oleh Profesor Shahnon ialah tabiat merokok membiakkan akhlak yang buruk. Dalam hal ini, kesombongan diri melalui gaya merokok atau melalui jenama rokok dan menganggap gaya merokok itu sebagai satu fesyen mutakhir dengan fesyen yang menunjukkan kepesonaan dan kehebatan gaya hidup dapat disamakan dengan gaya hidup yang sombong. Bagi perangai sombong ini, petikan dari Al-Quran menunjukkan bahawa Allah telah mengingati kita dalam surah Al-A'raaf: 133 iaitu Maka mereka yang sombong adalah kaum yang durjana dan surah An-Nahl: 23 iaitu Sesungguhnya Dia benci pada orang-orang yang sombong. Dalam hal kebersihan diri, Profesor Shahnon juga menerangkan bahawa perangai ini adalah perangai yang terang-terang bercanggah dengan maruah keIslaman serta Sunnah Nabi Muhammad SAW dan hidup para sahabat. Tabiat buruk bukan sahaja menyebabkan bau yang busuk dan tengik yang menyebabkan perokok bergaul secara terhad dan terbatas dengan bukan perokok. Malahan asap serta habuk yang berkumpul disekeliling perokok tidak mengambarkan sifat kebersihan dan keimanan.

Kertaskerja pertama untuk seminar tersebut bertajuk Merokok- Pandangan Islam telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Wahab Haji Awang Kechik, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan dari Pusat Islam USM. Dalam pembentangan kertaskerja, Ustaz Abdul Wahab telah memetik pendapat ulama-ulama tentang pengharaman merokok berpandukan kepada nas Al-Quran yang diantaranya ialah surah Al-A'raff: 157 yang membawa maksud 'Dan ia mengharamkan ke atas mereka perkara-perkara yang keji'. Dari hadith Nabi Muhammad SAW pula, Ustaz Abdul Wahab menggunakan hadith Nabi Muhammad SAW dari Ummi Salmah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud telah menyatakan bahawa setiap perkara yang mabuk dan mengkhayalkan serta merosakkan kesihatan adalah dilarang.

Seterusnya, Ustaz Abdul Wahab juga membincangkan pendapat ulama Fiqh Hanafi, Sheikh Muhammad al-Aini yang menyatakan pengharaman merokok adalah berdasarkan kepada empat perkara. Yang pertama ialah merokok membahayakan kesihatan seperti yang dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan. Keduanya, rokok mengandungi bahan dadah yang ditegah seperti yang diberikan oleh hadith Nabi Muhammad SAW dari Ummi Salmah di atas. Ketiganya, bau asap rokok menyakiti serta menganggu orang-orang tidak merokok terutamanya di tempat-tempat awam seperti di tempat-tempat solat di samping menyakiti para malaikat. Dalam hal ini, beliau memetik hadith Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhori/Muslim dengan memberikan contoh larangan orang yang memakan bawang puteh atau besar pergi ke mesjid. Oleh kerana bau rokok lebih kuat dari bawang putih atau besar, maka larangan yang sama juga dikenakan ke atas perokok. Pertimbangan keempat ialah merokok menyebabkan pembaziran yang sangat-sangat dilarang oleh Rasulullah SAW.

Dari segi hukum fiqh, Ustaz Abdul Wahab menjelaskan bahawa sekiranya merokok dilakukan sekali sekala, maka ia dianggap sebagai dosa kecil. Akan tetapi sekirannya tabiat ini dilakukan secara berterusan, ia dikira sebagai dosa besar sama seperti dosa-dosa kecil yang lain diulangi secara berterusan. Dalam hal ini, beliau mengambil persetujuan ulama yang menganggap merokok dikira sebagai dosa besar sekirannya terdapat satu dari lima perkara berikut iaitu masih meneruskan tabiat merokok secara berterusan, meringan-ringankan hukumnya, untuk tujuan berbangga serta mendatangkan perasaan bermegah-megah dan dilakukan oleh orang alim atau menjadi ikutan atau contoh kepada orang lain. Di samping hukum fiqh, Ustaz Abdul Wahab juga menyampaikan pendapat seorang ulama fiqh Imam Maliki, Sheikh Khalid bin Ahmad yang menyatakan tidak harus perokok menjadi imam semasa bersembahyang jemaah. Sebagai penutup kepada pembentangan beliau, Ustaz Abdul Wahab juga menyenaraikan di dalam kertas kerja beliau para ulama yang mengharamkan merokok kepada orang-orang mukmin.

Kertaskerja kedua pula disampaikan oleh Profesor Dzulkifli Abdul Razak, Pengarah Pusat Racun Negara, USM. Kertaskerja beliau bertajuk Rokok: Antara Racun dan Dadah dimulakan dengan penerangan yang mendalam ke atas rokok yang diakui baru-baru ini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai sejenis dadah yang boleh menyebabkan penagihan. Mengikut WHO, rokok telah didefinasikan satu tabiat ketagihan atau suatu keperluan untuk mengambil dadah (nikotin) pada kadar yang berterusan dalam usaha untuk menikmati kesannya atau untuk menghindar dari sebarang rasa tidak selesa di atas ketiadaannya (seperti rasa cemas, menggeletar [tremor], hilang tumpuan dan kerengsaan). Dalam hal ini menurut Profesor Dzulkifli, ketagihan rokok dapat dikatakan suatu perlakuan yang kompleks dan tidak mudah difahami dan tidak banyak berbeza dengan perlakuan menggunakan dadah. Dengan mengambil kronologi heroin, pada suatu ketika dulu digunakan ubat batuk, telah berubah dari suatu ubat kepada suatu dadah, maka perbahasan mengenai rokok sepatutnya ditumpukan ke arah hasil akhir serta perspektif yang sama. Pengalaman serta penyelidikan telah menghasilkan maklumat saintifik yang lebih terperinci tentang heroin yang menyebabkan heroin ditakrifkan sebagai dadah merbahaya dan lantas diharamkan. Begitu juga dengan rokok, berbagai penyelidikan baru dan juga maklumat terkini yang semakin hari semakin jelas menunjukkan bahawa tembakau itu bukan saja tidak mendatangkan apa-apa faedah kesihatan kepada manusia malah boleh meracuni serta memudaratkan kesihatan. Tambahan pula, rokok sekarang ini telah diterima boleh menyebabkan ketagihan sepertimana dadah-dadah lain yang telah lama diharamkan.

Dalam penerangan selanjutnya mengenai bahaya merokok, Profesor Dzulkifli menarik perhatian peserta seminar kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Timbalan Menteri Kesihatan pada suatu ketika dulu yang menyatakan bahawa tabiat merokok adalah salah satu punca kepada penagihan dadah. Beliau juga menambah bahawa hujah ini disokong pula oleh statistik dari Pasukan Petugas Anti Dadah yang menunjukkan bahawa lebih 90 peratus penagih dadah yang menjalani pemulihan terdiri dari perokok. Jika dilihat dari tabiat merokok, si penagih sebenarnya mendapatkan bekalan dadah nikotin sama seperti penagih dadah mendapatkan bekalan dadah untuk mengurangkan ketagihan dadah. Oleh itu, Profesor Dzulkfili mengajak peserta memikirkan jawapan kenapa dadah yang menyebabkan ketagihan diharamkan di Malaysia sedangkan rokok serta aktiviti yang berkaitan seperti penanaman tembakau masih dibenarkan sedangkan hasil akhir kedua-dua bahan ini akan menyebabkan ketagihan dan menyebabkan pengguna membinasakan diri masing-masing.

Profesor Dzulkifli selanjutnya menerangkan ciri-ciri pergantungan rokok yang sama dengan bahan yang diharamkan iaitu dadah seperti heroin, kokain dan alkohol (arak). Tiga ciri utama pergantungan rokok yang sama dengan dadah yang diperhatikan ialah penggunaan rokok tanpa apa-apa paksaan (kompulsif), kesan-kesan psikoaktif ke atas otak dan tabiat yang diperkukuhkan oleh rokok. Tambahan kepada ciri ketergantungan, ciri lain yang ditunjukkan ialah kesan tolerans, ketergantungan fizikal dan kesan khayal atau euforia. Di samping itu, tingkah laku yang ditunjukkan oleh perokok sama seperti tingkah laku penagih dadah iaitu pola penggunaan berulang (stereotaip), kejadian berulang walaupun selepas berhenti menggunakannya dan rasa kemaruk. Profesor Dzulkilfi juga menerangkan kesan-kesan kemaruk yang diperhatikan umumnya akan mengambil masa 2 hingga 4 minggu untuk reda melainkan kesan ketergantungan mental yang sukar diatasi oleh penagih nikotin untuk jangkamasa yang lama. Dalam hal ketergantungan mental ini, selalunya seseorang penagih nikotin yang berazam untuk berhenti akan kembali merokok dalam minggu pertama dan tabiat ingin untuk merokok semula akan sentiasa berada di dalam fikrian sehingga selepas setahun setelah berhenti merokok. Selain ini, Profesor Dzulkifli juga menerangkan bahawa penggunaan rokok meningkat tahun demi tahun sama seperti dengan corak penggunaan heroin.

Selepas pembentangan tiga kertaskerja pada hari pertama, sessi bengkel pertama dijalankan bagi tujuan membincangkan dapatan penting dari ketiga-tiga kertaskerja tersebut. Sebanyak lima kumpulan berasingan dibentuk bagi tujuan perbincangan dan setiap kumpulan diberi amanah untuk membawa usul-usul penting semasa pembentangan resolusi pada hari kedua seminar. Hasil perbincangan setiap kumpulan telah dihimpunkan menjadi resolusi seminar seperti yang diberikan pada resolusi seminar.

Kertaskerja ketiga bertajuk Merokok: Kesihatan dan Perundangan dibentangkan oleh Dr. Zarihah Zain dari Kementerian Kesihatan. Kertas kerja yang dibentangkan memberi tumpuan kepada perlaksanan perundangan dalam mengawal pertambahan perokok. Semasa pembentangan kertas kerja, beliau telah menarik perhatian kepada penyebab utama kematian di hampir kesemua negara maju dan kebanyakan negara membangun ialah tembakau. Statistik yang dibentangkan seperti menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan bahawa bilangan kematian tahunan akibat merokok sahaja di seluruh dunia telah bertambah dari 1 juta semasa pertengahan tahun 1960 ke 3 juta pada masa sekarang. Selanjutnya anggaran ini seperti yang diberikan oleh beliau dijangka mencapai angka 10 juta menjelang tahun 2020. Penyelidikan yang dijalankan juga menunjukkan bahawa seorang bagi setiap dua orang perokok itu akan akhirnya mati akibat tabiat menghisap merokok. Di atas maklumat statistik ini, beliau menyarankan agar kita bertindak mengawal masalah ini sekarang dan menerangkan dua kaedah bagi mengawal penggunan tembakau yang tertumpu kepada pengguna dan keduanya kepada pembekal dan pengedar tembakau tersebut. Untuk pengguna, pendidikan kesihatan yang diberikan secara efektif membolehkan kesedaran tentang bahaya tembakau yang seterusnya akan mengurangkan permintaan tembakau. Beliau juga menyentuh tentang kaedah demokratik yang tidak menjamin keberkesanan bagi pembekal dan pengedar dalam mengurangkan masalah kesihatan akibat tembakau dan menyarankan kod etika dan perundangan dilaksanakan bagi mengehadkan penggunaan dan bekalan tembakau. Beliau juga mendapati bahawa persetujuan untuk pengawalan secara sukarela dari pihak industri tembakau tidak mendatangkan apa-apa faedah dan dengan demikian menegaskan hanya penguatkuasaan undang-undang sahajalah yang boleh menyelesaikan masalah akibat tembakau.

Kertaskerja keempat pula membincangkan tentang kanser dan kaitannya dengan rokok yang disampaikan oleh Dr. Abdul Razak Mutalib dari Majlis Kanser Negara (MAKNA). Semasa pembentangan kertas kerja, beliau menerangkan bahawa merokok boleh menyebabkan 3 jenis kanser utama iaitu kanser paru-paru, kanser mulut dan kanser tekak dengan anggaran 80% perokok akan mendapat salah satu dari ketiga jenis kanser ini. Mekanisma bagaimana kanser ini berlaku adalah disebabkan oleh 43 jenis bahan karsinogen yang terdapat dalam sebatang rokok yang boleh menukarkan sel-sel normal kepada sel-sel kanser. Kebiasaannya dua peringkat kejadian kanser diperhatikan iaitu fasa permulaan yang merujuk kepada pembahagian sel induk kepada sel anak. Semasa peringkat ini, sel kanser akan bertambah bilangannya. Fasa kedua ialah fasa promosi yang diakibatkan oleh bahan kimia menyebabkan kanser merebak dan boleh dicirkan sebagai fasa merbahaya dalam pembentukan kanser.

Untuk kanser paru-paru, bilangan rokok yang dihisap menentukan sama ada risiko yang tinggi untuk mendapatkan kanser. Jumlah rokok yang dihisap dalam sehari akan meningkatkan risiko mendapatkan kanser sebagaimana yang diterangkan oleh beliau, setiap 10 batang yang dihisap, maka risiko untuk mendapat kanser paru-paru meningkat 10 kali ganda dan begitu seterusnya. Untuk kanser mulut pula, 90 peratus punca penyebab kanser adalah disebabkan oleh rokok sedangkan kanser yang terjadi pada bahagian saluran gastrousus yang lain pula mempunyai kaitan yang tinggi dengan rokok seperti 80 peratus punca kanser tekak adalah disebabkan oleh rokok.

Kertaskerja kelima pula diberikan oleh Dr. Wan Azman Wan Ahmad dari Yayasan Jantung Malaysia. Kertaskerja yang bertajuk Kardiovaskular dan Kaitannya dengan rokok menyentuh tentang masalah kesihatan dengan tumpuan kepada penyakit kardiovaskular yang disebabkan oleh rokok. Di antara statistik-statistik kajian yang dibentangkan oleh beliau ialah penyakit kardiovaskular merupakan pembunuh utama semenjak 1980 di Malaysia. Data dari tahun 1992 menunjukkan bahawa 28.2 % (sebanyak 5,487 kes) dari kes kematian di hospital adalah disebabkan oleh penyakit kardiovaskular. Beliau juga mendapati bahawa risiko kematian dari penyakit jantung di kalangan perokok adalah lebih tinggi iaitu 1.5 hingga 2.5 kali ganda berbanding dengan mereka yang tidak merokok. Dari segi risiko yang bertambah dengan bilangan rokok yang dihisap, Dr. Azman menarik perhatian tentang satu kajian yang dilakukan di UK yang menunjukkan bahawa mereka yang merokok kurang dari 20 batang sehari akan mempunyai pertambahan risiko serangan jantung sebanyak 2 kali ganda manakala merokok lebih dri 20 batang sehari boleh meningkat risiko serangan sakit jantung sebanyak 3.5 kali ganda pula.

Beliau juga membentangkan bukti patologi yang diperolehi dari pemeriksaan post mortem yang dilakukan ke atas perokok. Dari kajian post mortem, saluran darah arteri pada otak, jantung dan kaki didapati lebih teruk berpenyakit dari mereka yang tidak merokok. Hasil penelitian menunjukkan bahawa arteri jantung menjadi lebih tebal dan ketebalan dinding meningkat dengan bilangan rokok yang dihisap dalam sehari. Selain dari masalah penyakit koronari, Dr. Azman juga menarik perhatian peserta kepada masalah sosial dan ekonomi yang ditanggung untuk merawat masalah kesihatan yang timbul dari tabiat merokok. Di antara masalah yang timbul ialah 33% dari pekerja yang tidak dapat bekerja akibat penyakit jantung ialah perokok. Di samping kehilangan hari bekerja, masalah lain ialah kebakaran dan kemalangan yang terjadi dari puting rokok yang dibuang, masa yang digunakan oleh pekerja untuk merokok pada masa bekerja serta perbelanjaan yang diperlukan untuk membersihkan puting rokok dan kotak rokok yang dibuang sebagai sampah kotoran. Untuk kos kesihatan yang berkaitan dengan tujuan merawat penyakit koronari akibat merokok, Dr. Azman telah menyenaraikan bayaran hospital tempatan yang diperlukan pada tahun 1993 terletak dalam lingkungan RM4,405 - RM6,105. Memandangkan kebanyakan perokok sekarang terdiri dari golongan berpendapatan rendah, kemungkinan golongan tersebut tidak berupaya untuk mengubat masalah kesihatan yang timbul dari merokok. Tentang kempen merokok terhadap kaum wanita, beliau menerangkan kebanyakan kajian yang ditemui menunjukkan bahawa peratus serangan sakit jantung lebih tinggi bagi wanita yang merokok dibandingkan dengan penduduk umum. Dalam hal ini, kajian juga menunjukkan bahawa berdasarkan kepada perokok wanita pada masa ini, dianggarkan bahawa lebih 1 juta wanita akan mati akibat merokok pada tahun 2020.

Kertaskerja terakhir pula disampaikan oleh Profesor Hamdan Adnan, Presiden Gabungan Persatuan Penguna-pengguna Malaysia (FOMCA) yang bertajuk Merokok: Pandangan & Peranan Pengguna. Dalam kertaskerja beliau, di antara perkara-perkara yang diberi perhatian oleh FOMCA dan persatuan pengguna ialah bagaimana iklan rokok secara tidak langsung telah mempromosikan rokok sebagai suatu barangan yang glamour. Dalam hal ini, FOMCA dan persatuan pengguna yang lain sedang berusaha memperjuangkan supaya pengharaman sepenuhnya ke atas barangan yang mempunyai kaitan langsung dengan rokok. Beliau juga menimbulkan usaha melobi supaya tiada pengharaman dikenakan ke atas iklan rokok tidak langsung berdasarkan pendapatan lumayan yang diperolehi dari sumber iklan tersebut. Walaupun alasan ini diketengahkan, beliau tidak faham kenapa pihak yang sama enggan memikirkan kos yang diperlukan untuk merawat penyakit-penyakit yang disebabkan oleh tabiat merokok. Alasan yang dikemukakan bersifat komersil hanya melihat kepada keuntungan yang diperolehi oleh badan-badan penyiaran sedangkan yang menanggung kerugian ialah pembayar cukai yang terpaksa menanggung kos perbelanjaan merawat masalah kesihatan perokok seperti barah dan penyakit jantung.

Dalam hal iklan yang dikaitkan dengan jenama atau perkhidmatan yang serupa dengan jenama rokok, beiau menambah bahawa gaya hidup serta produk yang ingin ditonjolkan adalah gaya hidup yang gelojoh, merbahaya serta membazir yang jelas sememangnya tidak digalakkan di dalam Islam. Dalam penerangan selanjutnya, beliau juga menerangkan bahawa usaha yang dijalankan oleh pihak pengguna supaya penguatkuasaan undang-undang yang mengharamkan pembelian rokok, tembakau dan hasilan tembakau kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun. Beliau juga menarik perhatian peserta seminar tentang usaha syarikat-syarikat pemasaran rokok dalam mendapatkan perokok baru dari kalangan wanita dengan menggunakan taktik seperti merokok membolehkan wanita sehaluan dan setaraf dengan kaum lelaki.

Semasa menutup pembentangan kertaskerja, beliau menyarankan bahawa prestasi ekonomi yang kukuh pada masa kini merupakan masa terbaik untuk menggantikan industri tembakau. Pendekatan yang boleh diikuti ialah mengharamkan rokok dan hasil tembakau disebabkan oleh masalah ketagihan yang disebabkan oleh rokok. Dalam hal ini, beliau mengambil contoh tentang pengharaman ganja dan heroin yang telah dikenalpasti menyebabkan ketagihan. Atas dasar yang sama, rokok, tembakau dan hasil tembakau juga sepatutnya diharamkan.

Resolusi yang diterima semasa bengkel

Empat resolusi utama telah diluluskan. Setiap satu dari resolusi tersebut telah disokong dengan penerangan langkah terperinci sepertimana yang di dalam PenawaRacun Bil. 13, keluaran Mac 1997 halaman 2-3. Keempat-empat resolusi utama tersebut ialah:

  1. Tindakan susulan serta merta yang perlu diambil. Umumnya, resolusi ini mencadangkan kepada jawatankuasa penganjur seminar supaya mendapatkan kerjasama dari badan-badan lain seperti Majlis Agama Negeri dalam melaksanakan resolusi seminar ini.
  2. Aspek pendidikan yang menekankan tentang perlunya orang ramai dan agensi-agensi yang bekaitan memberi penerangan seluas mungkin tentang adanya fatwa yang mengharamkan merokok dan pentingnya masyarakat Islam umumnya memahami fatwa yang diluluskan dalam isu pengharaman merokok ini.
  3. Aspek dasar/perundangan yang menekankan tentang penggubalan dasar yang lebih konsisten melalui perundangan-perundangan khas lain yang difikirkan perlu. Tujuannya adalah untuk menambah keberkesanan kawalan terhadap penggunaan tembakau di kalangan semua lapisan masyarakat.
  4. Aspek pencegahan yang berteraskan kepentingan penguatkuasaan yang lebih cekap dan berkesan untuk membenteras gejala negatif yang timbul berkaitan dengan penggunaan temabkau yang berleluasa.

Bengkel ini juga mengesyorkan resolusi disebarkan seluas-luasnya kepada peserta dan juga pihak-pihak yang berkenaan untuk tindakan susulan masing-masing sepertimana yang telah dikenalpasti dalam saranan aktiviti.