Skip to main content

vcc

Laporan Kajian Pendedahan Plumbum Diserahkan

Oleh: natrah@usm.my

Berikutan perjanjian persefahaman di antara Yayasan Sabah dan Pusat Racun Negara, kajian Keracunan Plumbum telah dimulakan dengan tujuan untuk:

  • Mengenalpasti satu tahap pendedahan plumbum kepada kanak-kanak pra-sekolah di kawasan Pantai Barat Sabah.
  • Mengenalpasti kawasan tadika yang berisiko tinggi, dan
  • Mengenalpasti populasi kanak-kanak yang terlibat dengan keracunan plumbum.

Kajian ini merupakan usahasama di antara kedua-dua pihak memandangkan implikasi keracunan plumbum terhadap kanak-kanak pra-sekolah adalah serius. Ia bukan sahaja dapat mengancam kesihatan tetapi boleh juga mempengaruhi tahap perkembangan mental, khususnya daripada segi pembelajaran walaupun pada tahap pendedahan yang agak kecil. Kajian seumpama ini telahpun dijalankan di banyak negara maju maka dengan itu diharapkan kajian perintis ini dapat memberi satu gambaran yang lebih teliti tentang keadaan sebenarnya di negara kita.

Aktiviti dan Hasil Kajian

Dua (2) kaedah digunakan dalam kajian ini iaitu melalui soalselidik dan juga melalui analisis sampel darah kanak-kanak yang terlibat dengan kajian ini. Sebanyak tiga belas (13) buah tadika di enam (6) daerah Pantai Barat Sabah telah dikenalpasti secara rawak untuk menyertai kajian ini. Seramai 435 orang pelajar terlibat. Sampel darah telah diambil dan diuji menggunakan alat spektrofotometri serapan atom relau pemanasan bergrafit (Perkin Elmer SIMAA 6000) menggunakan pembetulan latar kesan Zeeman. Setiap sampel diulangi analisis sekurang-kurangnya tiga (3) kali dan nilai purata digunakan sebagai keputusan terakhir. Apabila kepekatan plumbum didapati melebihi 10 rnikrogam/100 ml, kajian ulangan pengesahan dilakukan.

Hasil kajian yang diperolehi boleh disenaraikan kepada tiga (3) penemuan utama:

  • Penentuan tahap pendedahan plumbum menampakkan sebanyak 6.9% daripada sampel darah kanak-kanak yang dianalisa mengandungi plumbum melebihi 10 mikrogram/100 ml berbanding dengan 20.7% antara 5-9.99 mikrogram/100 ml dan 72.4% di antara 0-4.99 mikrogram/100 ml.
  • Dari segi kawasan berisiko tinggi berasaskan kepada kepekatan 10 mikrogram/100 ml, tiga (3) kawasan iaitu, Ranau, Kota Belud dan Tuaran boleh dikelaskan sebagai kawasan-kawasan berisiko tinggi dan peratus pelajar yang terlibat dalam ketiga-tiga kawasan ini menunjukkan pendedahan kepada plumbum yang lebih tinggi berbanding dengan kawasan-kawasan lain. Tadika yang terlibat dalam kawasan-kawasan ini juga telah dikenalpasti. Kepekatan tertinggi dikesan dalam kawasan ini adalah 18.83 mikrogram/100ml.
  • Sebagai kesimpulan yang ketiga tentang populasi kanak-kanak berisiko tinggi, kajian ini menunjukkan bahawa peringkat umur mempengaruhi risiko pendedahan plumbum, malah kanak-kanak dalam usia enam (6) tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan peringkat umur yang lebih awal.

Ini menampakkan kemungkinan besar berlakunya pendedahan plumbum secara berterusan dari masa ke semasa. Dari segi suku kaum pula, kanak-kanak daripada suku kaum Kadazandusun banyak terlibat berbanding dengan suku kaum yang lain. Sedangkan daripada segi jantina pula tiada apa-apa perbezaan yang dapat diperhatikan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, boleh dikatakan walaupun secara umumnya tahap keracunan plumbum di kalangan kanak-kanak pra-sekolah dianggap sebagai tidak membimbangkan, namun terdapat hampir 7% daripada kalangan kanak-kanak yang dikaji yang memerlukan perhatian yang serius. Melalui kajian ini juga, daerah serta tadika yang lebih terdedah kepada masalah ini telah dapat dikenalpasti untuk membolehkan tindakan susulan yang segera dilakukan. Selain daripada itu, kelompok-kelompok umur serta suku kaum yang terlibat juga telah dikenalpasti dengan lebih dekat lagi. Ini akan membolehkan pemantauan secara berterusan dilakukan.

Saranan Dan Strategi

Laporan ini mencadangkan beberapa tindakan segera dan susulan di dalam bentuk bengkel mahupun kempen untuk menyedarkan kepada masyarakat yang terlibat tentang masalah keracunan ini serta juga kajian-kajian susulan yang difikirkan amat perlu khususnya kepada 120 kanak-kanak yang mempunyai kepekatan plumbum melebihi 10 mikrogram/100ml. Kajian ini juga mencadangkan peranan-peranan yang boleh diambil oleh Yayasan Sabah serta juga Pusat Racun Negara dalam membentuk satu kesinambungan jangka panjang untuk membasmi kejadian keracunan plumbum di Pantai Barat Sabah khasnya dan seluruh negeri Sabah amnya.

Jadual Piawaian Kepekatan Plumbum di dalam Darah dan Kesan Pendedahan Plumbum

KumpulanKepekatan Plumbum (mikrogram/100 ml)Tanda-tanda pada kesihatan
A Kurang dari 10 Tidak dianggap mengalami keracunan plumbum. Walau bagaimanapun, paras yang selamat belum ditemui. Paras serendah 4 mikrogram/100ml dilaporkan membantutkan pembesaran. Tiada rawatan perubatan diperlukan untuk kumpulan ini
B 10-14 Kumpulan ini perlu diberi perhatian. Penjejasan I.Q. boleh berlaku, walaupun kanak-kanak ini tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keracunan.
C 15-19 Kanak-kanak dalam kumpulan ini perlu diberi tindakan khas seperti makanan seimbang dan program pendidikan untuk mengurangkan kepekatan plumbum. Ujian susulan diperlukan. Walaupun rawatan mungkin tidak diperlukan, namun kanak-kanak hendaklah diasingkan dari sumber plumbum.
D 20-44 Kanak-kanak dalam kumpulan ini memerlukan penilaian perubatan dan perlu diasingkan dari punca pendedahan.
E 45-69 Kanak-kanak dalam kumpulan ini memerlukan pemerhatian perubatan termasuklah rawatan penawar dan penilaian persekitaran bagi menentukan punca plumbum.
F melebihi 70 Kepekatan plumbum pada tahap bahaya. Rawatan perubatan dan pengasingan punca plumbum diperlukan segera.

Sumber: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat, 1991