Skip to main content

vcc

Kerang-kerangan Laut Beracun

Oleh: Norjuliana binti Mohd Noor
Kerang-kerangan Laut Beracun

Kerang-kerangan laut seperti kerang, tiram, kupang dan remis merupakan sumber protein haiwan yang penting kepada manusia, menyumbang 15% daripada protein haiwan per kapita sebanyak 1.5 billion orang. Kes keracunan kepada manusia berlaku apabila kerang yang tercemar dengan toksin laut dimakan.

73 ms 1

Kebiasaannya, kes keracunan kerang-kerangan ini terjadi semasa fenomena laut merah iaitu satu keadaan dimana berlakunya pertumbuhan alga yang berbahaya secara mendadak. Ledakan pertumbuhan alga ini menyebabkan pengurangan oksigen di dalam air dan juga menghasilkan toksin yang berbahaya. Ini menyebabkan  kerang-kerangan menjadi kumpulan haiwan yang paling berisiko untuk menyerap toksin ini kerana kerang-kerangan merupakan haiwan marin yang makan dengan  cara menapis bahan terampai dan zarah makanan daripada air. Oleh itu, semasa terjadinya fenomena laut merah, kerang-kerangan ini terpaksa menapis banyak toksin  yang akhirnya terkumpul di dalam sel badan mereka. Tidak seperti patogen bakteria, memasak tidak membunuh atau meneutralkan toksin ini kerana ia tidak bernyawa. Begitu juga toksin ini tidak dapat dikesan melalui penglihatan, rasa atau bau.

Jenis-Jenis Keracunan, Punca dan Kesan Kepada Kesihatan

Amnesic Shellfish Poisoning (ASP)

Keracunan ASP berlaku apabila seseorang memakan kerang yang tercemar dengan asid domoic yang dihasilkan oleh diatom Psuedo-nitzschia spp. iaitu sejenis alga mikroskopik. Kerang cukur paling kerap terlibat dalam kes ASP kerana alga yang menghasilkan toksin ini biasanya ditemui di kawasan pantai di mana kerang ini juga ditemui.

Selain loya, muntah, kekejangan perut dan cirit-birit, ASP boleh menyebabkan gejala neurologi termasuk kekeliruan, pening, sakit kepala, sawan dan kehilangan
ingatan jangka pendek yang mungkin kekal. Gejala
awal biasanya berlaku dalam masa 24 jam namun gejala neurologi yang lebih teruk mungkin akan muncul dalam masa 48 jam. Kematian turut dilaporkan dalam kes-kes keracunan yang teruk.

Ads:

Diarrhetic Shellfish Poisoning (DSP)

DSP disebabkan oleh asid okadaik (OA) yang dihasilkan oleh Dinophysis, dinoflagellate. Gejala keracunan termasuk sakit perut, loya, muntah dan cirit-birit. 
Paralitic Shellfish Poisoning
(PSP) PSP disebabkan oleh toksin yang berasal dari saxitoxin. Kerang-kerangan yang boleh tercemar adalah seperti gastropod, siput bulan, dan ketam yang memakan kerang lain.

Tindakbalas PSP adalah sepantas setengah jam selepas memakan kerang-kerangan yang tercemar. Gejala keracunan mungkin bermula dengan rasa kebas di bibir dan lidah, kebas di jari tangan dan kaki dan kemudian diikuti dengan kehilangan kawalan motor di lengan dan kaki. Jumlah toksin yang mencukupi akan  menyebabkan gangguan pernafasan sehingga menyebabkan kesukaran bernafas. Terdapat kes kematian yang dilaporkan akibat PSP yang berlaku kurang daripada  setengah jam selepas memakan kerang yang tercemar.

Neurotoxic Shellfish Poisoning (NSP)

Keracunan kerang neurotoksik berlaku akibat pengambilan kerang moluska yang tercemar dengan brevetoxin yang dihasilkan oleh dinoflagellate Karenia brevis. NSP pertama kali ditemui di pantai barat Florida pada tahun 1844. Sejak itu, ia telah dilaporkan berlaku di Teluk Mexico, pantai timur Florida, Caribbean, pantai Carolina Utara dan New Zealand. Gejala keracunan boleh berlaku seawal beberapa minit sehingga 18 jam yang melibatkan melibatkan sistem gastrousus (loya, muntah, dan cirit-birit) atau neurologi (kesan kebas dibibir, mulut, muka, dan kaki, lumpuh separa anggota badan, pertuturan yang tidak jelas, sakit kepala, dan  keletihan).

Kes yang pernah terjadi di Malaysia

Keracunan PSP yang dilaporkan berlaku pertama kali di Malaysia adalah pada tahun 1976 dan kerap kali berlaku di pantai barat perairan Sabah. Kemudian terdapat kes di Semenanjung yang berlaku pada September 2001 apabila enam orang jatuh sakit selepas memakan kerang yang diternak di pantai timur Semenanjung  Malaysia (Pulau Ubi Genting, Tumpat, Kelantan). Kesemua mangsa menunjukkan symptom  keracunan PSP dan menyebabkan satu kematian.

Rawatan

Tiada rawatan khusus atau anti toksin yang wujud sehingga kini untuk kes keracunan kerang-kerangan. Sekiranya seseorang mengalami gejala selepas termakan kerang-kerangan laut, mangsa harus dirujuk secepat mungkin ke hospital untuk dinilai secara perubatan bagi menentukan punca keracunan dan diberikan rawatan
yang bersesuaian.

Badan berautoriti seperti Jabatan Perikanan adalah antara organisasi yang memantau dan dapat mengesan kehadiran toksin melalui ujian makmal yang dijalankan di dalam makmal khas seperti makmal biosekuriti perikanan. Sebagai orang awam, sentiasa pastikan kita peka dengan sebarang amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terlibat. Jangan menuai hasil kerang-kerangan sekiranya amaran air pasang merah telah dikeluarkan. Pengumpulan kerang-kerangan dari kawasan yang  dilarang boleh mengakibatkan kesan keracunan yang teruk.