Skip to main content

vcc

PENAWAR 71 - GENERASI PENAMAT MEROKOK: Polisi Perlindungan Percuma buat Keluarga Malaysia

Oleh: Sulastri Samsudin

main71

Sejak lebih sedekad lalu, pakar-pakar di seluruh dunia serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mencanangkan idea tentang Tobacco Endgame. Apakah Tobacco Endgame?

Ia merujuk kepada fasa penamat penggunaan tembakau iaitu penurunan peratusan merokok dalam kalangan penduduk sesebuah negara sehingga mencapai kurang daripada 5%. Selain itu, Thompson et al. (2012) juga mencadangkan bahawa antara elemen yang harus diambil kira dalam mendefinisikan ‘endgame’ adalah:

● Menamatkan penjualan komersial produk-produk tembakau

● Menjadikan budaya merokok budaya yang tidak boleh diterima masyarakat

● Sifar pendedahan mengenai penggunaan tembakau kepada kanak-kanak

Di Malaysia, Pelan Strategik Kebangsaan Kawalan Tembakau telah mensasarkan prevalen bilangan perokok kurang daripada 15% menjelang tahun 2025 dan kurang daripada 5% menjelang tahun 2040. Pelbagai inisiatif dan usaha telah dilakukan untuk membanteras penggunaan tembakau dan produk seumpamanya sejak sekian lama. Namun begitu, peratusan perokok di Malaysia didapati tidak menunjukkan penurunan ketara sejak dari tahun 1986 sehingga kini. Menurut data daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiti Kebangsaan 2019 (NHMS 2019) prevalen perokok hanya menurun kepada 21% dan ini tidak termasuk peningkatan bilangan pengguna rokok elektronik yang meningkat kepada 1.2 juta orang dalam hanya 3 tahun ia berada di pasaran.

Menyedari tentang perlunya tindakan lebih tegas dan tuntas untuk Malaysia turut sama mencapai sasaran The Endgame, Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin, pada 15 Januari 2022 yang lalu telah menyatakan hasrat bahawa Kerajaan Malaysia akan membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok bagi menggantikan kawalan polisi sedia ada melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang termaktub di bawah Akta Makanan 1983. Dalam masa yang sama, akta baru ini juga akan mewujudkan peruntukan berkaitan “generational end game” (Generasi Penamat) agar dapat membendung masalah merokok dengan mensasarkan pembentukan generasi baru yang bebas daripada tabiat merokok termasuk penggunaan produk merokok lain seperti vape.

Generational end game secara dasarnya adalah satu bentuk kawalan perundangan yang melarang aktiviti berkaitan merokok seperti menjual, membeli dan memiliki produk tembakau dan produk pengganti tembakau dalam kalangan generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan ke atas. Produk-produk yang dimaksudkan ini termasuk semua jenis rokok elektronik mahupun produk yang tidak menggunakan tembakau.

Ketika ini, kawalan undang-undang di Malaysia hanya melarang penjualan, pembelian dan pemilikan produk tembakau bagi individu yang berumur 18 tahun dan ke bawah. Pendekatan ini seolah-olah memberi gambaran penggunaan produk merokok adalah selamat untuk orang dewasa. Hakikatnya, merokok telah terbukti boleh mendatangkan kemudaratan pada semua peringkat umur.

Justeru itu, PELAKSANAAN LARANGAN PENJUALAN, PEMBELIAN DAN PEMILIKAN PRODUK TEMBAKAU DAN PRODUK PENGGANTI TEMBAKAU DALAM KALANGAN GENERASI PENAMAT (GENERATIONAL END GAME) adalah satu inisiatif yang sangat wajar agar kita dapat berhenti meracuni generasi akan datang dengan bahan menagihkan serta bahan kimia berbahaya. Pendekatan GEG untuk mencegah masalah ketagihan nikotin daripada peringkat akar umbi adalah sangat bertepatan dengan konsep keluarga Malaysia di mana sebuah keluarga sentiasa berperanan melindungi keselamatan ahli keluarga. Kawalan perundangan bagi produk menagihkan hanya berkesan untuk sementara, tetapi memutuskan rantaian pengguna seperti yang dicadangkan dalam GEG adalah langkah yang lebih tuntas dalam mencapai sasaran The End Game.

Pusat Racun Negara amat menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mewujudkan akta baharu kawalan tembakau ini. Inilah peluang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia menyokong agar polisi ini menjadi realiti demi melindungi kesihatan generasi akan datang daripada masalah ketagihan nikotin seperti sekarang ini. GENERASI PENAMAT MEROKOK. Ia umpama polisi perlindungan percuma buat seluruh Keluarga Malaysia. 

ms2