Skip to main content

vcc

Kementerian Kesihatan Malaysia Iktiraf Makmal Toksikologi Pusat Racun Negara

Oleh: Azaharudin Awang Ahmad

Pusat Racun Negara (PRN) telah mencatat pencapaian yang membanggakan baru-baru ini apabila berjaya mendapat pengiktirafan sebagai Makmal Swasta oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi Perkhidmatan Analisis Kimia Produk Tradisional. Pengiktirafan yang diperolehi melalui Makmal Toksikologi, Pusat Racun Negara bagi tempoh tiga tahun bermula dari Januari 2018 sehingga Januari 2021 ini menunjukkan PRN amat komited dan serius dalam memainkan peranannya untuk meningkatkan kualiti produk ubat-ubatan tradisional yang dihasilkan di negara kita.

Dengan adanya pengiktirafan ini, pihak industri, syarikat-syarikat farmaseutikal perusahaan kecil dan sederhana (IKS) boleh menggunakan perkhidmatan analisis kimia yang ditawarkan oleh PRN untuk mengesahkan produk ubat-ubatan tradisional yang dihasilkan mereka bebas daripada sebarang bahan campuran palsu yang tidak dibenarkan seperti sibutramine bagi memenuhi syarat pendaftaran produk yang ditetapkan oleh NPRA KKM.

Pengiktirafan yang julung kali diberikan kepada satu-satunya makmal analisis daripada universiti awam dan swasta ini merupakan sebuah anugerah yang membuktikan bahawa perkhidmatan analisis kimia yang dijalankan oleh Makmal Toksikologi PRN adalah berkualiti tinggi, berprestasi cemerlang dan terjamin analisis data dan kimianya patuh sistem kualiti di negara kita.

Selain itu, Makmal Toksikologi PRN ini juga ialah sebuah makmal yang telah menerima Akreditasi MS ISO/IEC 17025 dibawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) pada 28 Julai 2011. Status akreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia ini merupakan satu pengiktirafan yang membuktikan analisis kimia dilakukan boleh diterima pakai bukan sahaja dalam negara bahkan juga di peringkat antarabangsa.