Skip to main content

vcc

PRN kendali kajian merokok di Malaysia

Oleh: natrah@usm.my

Saban tahun, kematian yang berpunca daripada tabiat buruk merokok melebihi 4 juta orang penduduk dunia. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya yang terbaru telah menganjurkan bahawa angka ini akan meningkat kepada 10 juta kematian menjelang tahun 2030. 70% daripada jumlah ini tertumpu di negara-negara membangun dan Malaysia juga tidak terkecuali dari masalah ini.

Sejak akhir-akhir ini, syarikat-syarikat gergasi tembakau antarabangsa telah meningkatkan usaha dalam menembusi pasaran negara-negara membangun. Sebagai contohnya Syarikat Philip Morris yang berpengkalan di Amerika Syarikat yang mana lebih separuh daripada keuntungannya diperolehi dari luar Amerika Syarikat dan lebih daripada tiga perempat produknya dihasilkan di luar negara tersebut. Sementara itu RJ Reynolds pula telah menjualkan kesemua kepentingan antarabangsanya kepada syarikat Japan Tobacco (JT).

Menyedari betapa besarnya ancaman tembakau ke atas tahap kesihatan penduduk dan juga bebannya ke atas ekonomi sesebuah negara, beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan telah bekerjasama dengan badan kerajaan di Asia Tenggara dalam pengawalan tembakau. Hasilnya tertubuhlah satu kesatuan yang dikenali sebagai Alliance of Southeast Asian Tobacco Control Advocates (SEATCA) pada tahun 2000 yang mana PRN turut menjadi ahlinya. Peranan PRN dalam kesatuan ini ialah untuk mengendalikan kajian mengenai tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.

Kesatuan ini berperanan menyelaras dan menyokong kegiatan-kegiatan badan-badan yang terlibat di dalam kawalan tembakau di samping bertindak sebagai agensi pusat bagi kegiatan penyelidikan dan advokasi bagi menangani isu-isu serantau berkaitan tembakau. Dijangkakan kerjasama kesatuan serantau ini akan dapat menubuhkan pusat kecemerlangan penyelidikan untuk tujuan penyelidikan dalam isu-isu tembakau di rantau ASEAN.

Dalam tahun 2001 ini, PRN sebagai ahli SEATCA telah dipertanggungjawabkan dengan dua tugas. Pertama, mengendalikan Bengkel Penyelidikan Kawalan Tembakau melalui kaedah Pemantauan dan Analisis Ekonomi peringkat Kebangsaan pada 2 Julai 2001 di USM, Pulau Pinang. Pemilihan USM adalah bertepatan dengan pengiktirafan PRN sebagai Penyelaras Kebangsaan bagi Kajian Penyelidikan Tembakau yang akan diselaraskan oleh John Hopkins University dan University of Cicago dengan dibiayai oleh Rockefeller Foundation dari Amerika Syarikat. Fokus utama bengkel ini adalah: 

  • penggunaan kajiselidik bagi meninjau masalah tembakau di Malaysia
  • kajiselidik masalah tembakau dalam kalangan subjek terpilih seperti kanak-kanak sekolah
  • kajian hospital untuk penyakit kanser paru-paru dan penggunaan tembakau
  • kajian pendedahan asap rokok basi dalam kalangan bukan perokok

Kedua, PRN akan menganjurkan Bengkel Penyelidikan Kawalan Tembakau Peringkat Asean pada 5-9 November 2001. Seramai 45 penyelidik dari rantau ASEAN akan berbincang mengenai program kerjasama serantau dan bantuan teknikal bagi kajian peringkat negara peserta. Bengkel ini bertujuan untuk mencapai persetujuan bagi kajian tembakau yang akan dibiayai oleh badan-badan penaja antarabangsa seperti WHO dan sebagainya. Maklumat berguna dari badan-badan ini akan digunakan dalam merangka dan melaksanakan polisi-polisi baru bagi mengatasi wabak penggunaan tembakau di negara-negara ASEAN.

Peranan yang dimainkan oleh PRN dalam kajian tembakau peringkat serantau merupakan pengiktirafan pada usaha perintis yang dimainkan di peringkat tempatan. PRN juga berpotensi dalam bertindak sebagai pemimpin kepada badan pertubuhan bukan kerajaan dan juga agensi kerajaan di dalam kajian penyelidikan tembakau