Skip to main content

vcc

Ucapan Perasmian oleh Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang - Dr. Zainul bin Hamzah

Oleh: natrah@usm.my

Sempena Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-3 Kelab Nafas Baru
29 April 2000

Saya merasa amat tertarik dan kagum di atas kesungguhan pihak pengurusan sekolah dan murid-murid yang terbabit dalam mengwujudkan Kelab Nafas Baru di sekolah ini. Apa juga aktiviti yang memupuk persekitaran dan amalan kehidupan yang sihat, sememangnya amat digalakkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Difahamkan bahawa segala usaha dan kegiatan yang dilaksanakan sejak tiga (3) tahun lalu oleh pengasas Kelab Nafas Baru (KNB) ini telah membuahkan hasil yang boleh dibanggakan. Sehingga kini, seramai tidak kurang daripada 10 orang pelajar telah berjaya membebaskan diri masing-masing daripada belenggu ketagihan rokok.

Seperti yang kita maklum, peruntukan undang-undang melalui Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 telah menetapkan bahawa semua sekolah sekolah adalah kawasan larangan merokok. Namun tiada program khusus disediakan untuk menangani masalah yang dihadapi oleh para perokok remaja, sungguhpun sudah lama menjadi pengetahuan umum bahawa terdapat ramai murid sekolah yang telahpun terjerat dengan gejala ini. Kelab Nafas Baru (KNB) merupakan suatu pendekatan yang paling tepat bagi menyelesaikan isu ini. Tindakan ‘bottom-up’ yang diambil oleh KNB ternyata lebih berkesan dalam situasi begini, jika dibandingkan dengan perlaksanaan arahan iaitu pendekatan ‘top down’. Syabas cikgu dan murid-murid.

Kementerian Kesihatan memandang serius terhadap isu merokok yang kian menjadi satu wabak di kalangan masyarakat Malaysia. Beban kesan buruk
daripada tabiat yang semakin meluas ini telah ditanggung oleh Kerajaan sejak dua (2) dekad yang lalu, di mana rawatan bagi kejadian penyakit-penyakit berkaitan rokok semakin bertambah dan memerlukan kepakaran dan peruntukan kewangan yang sangat besar. Antara lima (5) penyebab utama kematian di negara ini selama tempoh yang sama, tiga (3) daripadanya ialah akibat penyakitpenyakit yang dikaitkan dengan merokok.

Kajian saintifik telah menunjukkan yang 50% (setengah) daripada para perokok yang ada hari ini akan mati akibat tabiat itu seandainya mereka kekal mengamalkannya. Kematian golongan ini biasanya berlaku pada pertengahan umur, sebelum mereka sempat mencapai usia 70 tahun.

Tahun ini, sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia akan dilancarkan bagi peringkat kebangsaan di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia. Slogan tahun 2000 yang  ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ialah: “Tembakau Membunuh – Jangan Terpedaya”.

Sememangnya telah sampai masa untuk kita perbetulkan kekeliruan dan tipu daya yang dipropagasikan oleh syarikat syarikat tembakau melalui media tempatan. Ketahuilah bahawa objektif syarikat gergasi ini tidak lain hanyalah mengaut keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan nyawa dan nilai kehidupan para pelanggan mereka yang kelak akan menerima padah daripada penggunaan produk bahan beracun mereka.

Para hadirin sekalian adalah  dijemput untuk menyertai semua aktiviti sempena sambutan tanpa tembakau tahun ini yang telah disusun sepanjang bulan mulai 30 Mei – 30 Jun 2000.

Akhirnya sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada SMK Seberang jaya atas kegigihan usaha yang disumbangkan sehingga menghasilkan kejayaan kepada KNB sekolah ini yang sekarang menjadi contoh kepada sekolahsekolah lain pula. Sekian, terima kasih.

32mei00c

Selamat Menyambut Ulangtahun Ke-3
Kelab Nafas Baru