Skip to main content

vcc

Racun Tikus Penyebab Sawan

Oleh: Asdariah Misnan
Racun Tikus Penyebab Sawan

Era pasca Covid ini, ramai pengguna yang lebih selesa untuk melakukan pembelian barang keperluan secara dalam talian. Melihat potensi ini, ramai peniaga mula menjual pelbagai  barangan keperluan yang dibawa masuk secara tidak sah dari luar negara termasuklah racun tikus. Pencarian di dalam beberapa platform e-dagang mendapati terdapat pelbagai jenis dan  jenama racun tikus yang dijual secara terbuka dalam talian. Ada jenis yang berdaftar dan dibenarkan penggunaannya di Malaysia namun banyak juga yang tidak berdaftar dan  diharamkan penggunaannya disebabkan oleh kandungan bahan aktif yang boleh medatangkan bahaya kepada manusia dan alam sekitar.

Carian di dalam internet terutamanya laman media sosial mendapati lambakan iklan produk racun tikus yang kebanyakannya tidak berdaftar. Tambahan pula, masyarakat kita memang  mudah tertarik dan terpengaruh dengan iklan-iklan produk sebegini yang mendakwa bahawa produk mereka sangat berkesan untuk menghapuskan tikus dengan cepat tanpa memikirkan 
risiko keracunan yang boleh berlaku. Racun tikus yang berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak di Malaysia dan dibenarkan penjualan dan penggunaannya mengandungi zink  fosfida atau agen pencair darah seperti warfarin, brodifacoum dan chlorophacinone. Maklumat tersebut boleh diakses melalui pautan SISTEM MAKLUMAT RACUN MAKHLUK PEROSAK

Ads:

Formulasi Baharu

Sepanjang Januari hingga Julai 2023, Pusat Racun Negara telah menerima 48 kes keracunan melibatkan racun tikus dan enam kes daripadanya disyaki melibatkan racun tikus penyebab  sawan iaitu racun tidak berdaftar yang telah lama diharamkan penjualan dan penggunaannya di Malaysia dan juga di kebanyakan negara lain disebabkan oleh kesan toksiknya yang tinggi. 
Biasanya racun tikus penyebab sawan yang dijual secara haram di Malaysia adalah dalam bentuk serbuk putih, namun kebelakangan ini, PRN telah mendapat laporan kes keracunan di  mana mangsa mengalami sawan setelah mengambil racun tikus jenis cecair. Selain itu, terdapat juga racun yang digambarkan sebagai bijirin seperti barli yang diselaputi serbuk putih.  Jadi, kemungkinan besar, formulasinya telah diubah oleh pengeluarnya. Namun, agak sukar untuk memastikan kesahihan bahan aktif yang terlibat kerana produk tersebut tidak berdaftar. 

Bahaya Racun Tikus Penyebab Sawan

Racun tikus penyebab sawan atau ‘convulsant rodenticide’ ini biasanya mengandungi salah satu daripada bahan aktif berikut : 
● TETS (tetramethylene disulfotetramine)
● SMFA (sodium monofluoroacetate)
Fluoroacetamide
Fluoroacetic acid

Pangkalan data keracunan TOXINZ, New Zealand melaporkan bahawa TETS adalah racun yang sangat toksik, lebih toksik daripada strychnine dan boleh menyebabkan kematian dengan  dos sebanyak 6-12 mg dalam kalangan orang dewasa. Manakala satu jilatan oleh kanak-kanak sudah memadai untuk menyebabkan risiko kematian. Serbuk yang tiada bau, rasa dan warna  serta mudah larut air ini diserap dengan cepat ke dalam salur darah apabila ditelan atau dihidu. Kebiasaannya, dalam tempoh beberapa minit selepas pendedahan, mangsa akan mengalami kebas pada lidah, muntah, sakit kepala dan pening. Dalam kes yang teruk, mangsa boleh diserang sawan yang berpanjangan dan memerlukan rawatan di hospital dengan kadar  segera. Kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian. Walaupun sawan dapat dirawat, mangsa juga berpotensi untuk mendapat kesan jangka panjang sehingga  beberapa bulan seperti kesukaran bertutur, gangguan ingatan dan penglihatan, selain berisiko untuk mendapat serangan sawan yang berulang. Oleh itu, ELAKKAN daripada membeli atau menggunakan racun yang tidak berdaftar seperti ini. Gunakan racun yang berdaftar dengan ciri-ciri berikut:
1. Mempunyai nama dagangan, bahan aktif dan maklumat pengeluar/ pengedar. 
2. Mempunyai label yang lengkap dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. 
3. Mempunyai nombor pendaftaran dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak. Nombor tersebut dimulai dengan LRMP. R1/XXXX. 
4. Mempunyai maklumat kelas bahaya sama ada Kelas 1a (Sangat Berbahaya), 1b (Berbahaya), III (Sederhana Bahaya), IV (Agak Berbahaya).
5. Mempunyai arahan penggunaan, maklumat tanda keracunan dan rawatan kecemasan.

                                                            75 ms 2b