vcc

Bahan Kimia DwiFungsi: Antara Manfaat dan Risiko

oleh: Nur Afni Amir 

Tahukah anda terdapat bahan kimia yang digunakan dalam kehidupan seharian kita turut berpotensi untuk disalah gunakan sebagai senjata kimia yang berbahaya.
Bahan kimia seperti ini dikenali sebagai bahan kimia dwifungsi.  

Pihak Organization for the Prohibition of Chemical Weapons (OPCW) mentakrifkan bahan kimia  dwi-fungsi sebagai bahan kimia yang mempunyai kegunaan biasa sah dari sudut undang-undang tetapi dalam masa yang sama ia boleh juga digunakan untuk  menghasilkan senjata kimia. 

Terdapat pelbagai insiden sejak dahulu hingga kini yang melibatkan penggunaan bahan kimia dwi-fungsi ini sebagai senjata kimia terutama dalam peperangan diseluruh dunia. Namun kawalan untuk bahan ini menjadi sangat sukar kerana ia turut mempunyai fungsi yang baik dalam sektor industri malahan juga dalam  sektor perubatan. Artikel kali ini akan membincangkan secara ringkas berkenaan bahan kimia dwi-fungsi yang penting untuk diketahui oleh masyarakat umum. 

Klorin

Dalam kegunaan harian, klorin bermanfaat sebagai antiseptik untuk memastikan air minuman kita selamat diminum atau untuk membersihkan air kolam renang.  Ia juga digunakan dalam industri pembuatan untuk penghasilan kertas, cat dan tekstil. TETAPI klorin juga boleh digunakan sebagai agen pencekik di dalam peperangan. Sifatnya yang lebih berat berbanding dengan udara menyebabkan pengumpulan cecair di dalam paruparu manusia sehingga menyebabkan mangsa tidak dapat bernafas dan lemas. Gas klorin digunakan sebagai senjata kimia sejak tahun 1915 oleh tentera German di Ypres, Belgium. Penggunaan klorin sebagai  senjata kimia telah diharamkan melalui Konvensyen senjata kimia 1993, namun ia muncul semula dalam serangan senjata kimia terancang oleh Kerajaan Syria di  Aleppo sekitar tahun 2016. 

Trietanolamine

Bahan kimia ini biasa digunakan dalam penghasilan produk kosmetik seperti pelindung matahari, krim pencukur, pelembab kulit, syampu dan penanggal alat  solekan. Ia juga boleh didapati di dalam detergen pencuci pinggan dan pembersih tangan (hand sanitizer).  Dalam penghasilan senjata kimia, ia digunakan sebagai prekursor untuk menghasilkan gas mustard—sejenis gas toksik yang telah mengakibatkan mangsa menjadi buta dan maut dalam perang dunia pertama.  

72 ms 3

Phosgene 

Phosgene biasa digunakan dalam penghasilan plastik dan poliuretana iaitu sejenis bahan yang digunakan dalam penghasilan perabot dan tilam. Namun, di dalam perang dunia pertama, phosgene digunakan sebagai agen pencekik yang menyebabkan kematian askar dan juga orang awam. 

Sodium Azide 

Ia merupakan salah satu bahan utama yang berfungsi untuk mengembangkan beg udara di dalam kenderaan ketika berlaku hentaman. Ia juga digunakan secara  meluas sebagai bahan pengawet di dalam makmal perubatan. Sodium azide mempunyai mekanisma tindakan yang mirip dengan sianida. Oleh itu, terdapat  kebimbangan bahawa ia juga boleh digunakan sebagai senjata kimia. Sekiranya di larutkan di dalam air, sodium azide tidak berwarna dan tidak mempunyai bau. Sifat ini menyebabkan ia sangat berpotensi untuk dijadikan agen toksik bagi meracuni mangsa tanpa disedari.  Sodium azide adalah bahan kimia toksik yang menghalang penggunaan oksigen oleh sel-sel di dalam badan. Reaksi sodium azide dengan permukaan besi seperti plumbum, tembaga dan zink akan menghasilkan bahan  letupan yang sangat sensitif terhadap hentakan.  

Ammonium Nitrat 

Bahan ini digunakan secara meluas sebagai baja dalam sektor pertanian namun ia juga boleh digunakan sebagai bahan letupan yang berkuasa dan berbahaya. 
Insiden pengeboman di bandar Oklahoma, United States pada tahun 1995 adalah antara insiden penting yang melibatkan penggunaan bahan ini dimana lebih dari 2  tan baja ammonium nitrat digunakan oleh pengganas yang juga merupakan bekas tentera Amerika Syarikat untuk menghasilkan bom yang telah mengakibatkan  kematian 168 orang awam termasuk 19 orang kanak-kanak.  

72 ms 4b

Persoalannya sekarang, bagaimanakah kita dapat hidup dengan selamat dengan risiko penggunaan bahan kimia dwi-fungsi ini sebagai senjata kimia? Kawalan  bahan-bahan ini adalah sangat sukar disebabkan faedahnya dalam pelbagai aspek kehidupan seharian. Namun antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengukuhkan aspek keselamatan kimia terutamanya di fasiliti-fasiliti yang menggunakan bahan-bahan kimia dwifungsi ini contohnya penggunaan di dalam  makmal. Di peringkat global, OPCW memainkan peranan untuk memastikan dunia kita bebas dari ancaman pengunaan senjata kimia. OPCW membenarkan  penggunaan bahan kimia dwi-fungsi ini selagi ia digunakan untuk tujuan yang tidak melanggar peruntukan sebagaimana digariskan oleh pihak konvensyen seperti  untuk tujuan industri, pertanian, kajian, perubatan dan bidang farmaseutikal. Kebanyakan daripada bahan kimia toksik ini dipantau oleh pihak OPCW. Pemantauan oleh OPCW dengan kerjasama negara-negara anggotanya diseluruh dunia dapat mengurangkan risiko bahan-bahan dwi-fungsi ini daripada disalahgunakan menjadi senjata kimia. 

 


Pusat Racun Negara
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia

telephone handset blue icon small : +604-653 2265
blue email box circle png smallprnnet@usm.my
Admin Login