Skip to main content

vcc

Bengkel Kajian Keracunan Plumbum - Merangka Pelan Tindakan Bersama

Oleh: natrah@usm.my

Satu bengkel bertemakan Kajian Keracunan Plumbum Di Kalangan Kanak-Kanak Sekolah di Negeri Sabah anjuran Yayasan Sabah dengan kerjasama Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang telah diadakan pada 12-14 November 1996 bertempat di Kota Kinabalu. Bengkel ini bertujuan:

  • Meningkatkan kesedaran tentang risiko keracunan plumbum pada kanak-kanak sekolah.
  • Merancang program-program tindakan dalam menangani masalah keracunan plumbum.
  • Mewujudkan persefahaman di antara agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam melaksanakan program susulan.

Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah/Ketua Eksekutif Yayasan Sabah, Y.B. Datuk Musa Hj. Aman dan melibatkan para peserta dari berbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO).

Dalam ucapannya, Datuk Musa menekankan tentang pentingnya penyelidikan dilakukan supaya pengetahuan dan maklumat baru sentiasa dihasilkan dalam usaha meningkatkan lagi taraf kehidupan masyarakat. Khususnya dalam kajian pendedahan keracunan plumbum, berbagai tindakan dapat diambil untuk memperbaiki lagi keadaan.

Sebelum daripada itu, Y.Bhg. Prof. Jamjan Rajikan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Pembangunan), Universiti Sains Malaysia sebagai wakil Naib Canselor, mengalu-alukan kerjasama yang telah diadakan dan menyatakan kesediaan Universiti Sains Malaysia membantu melalui Pusat Racun Negara, dalam menangani masalah keracunan plumbum yang berlaku di negeri Sabah.

Bengkel ini merupakan tindakan susulan awal berikutan satu kajian tentang pendedahan plumbum terhadap kanak-kanak pra-sekolah di kawasan Pantai Barat Sabah yang telah dikendalikan oleh Pusat Racun Negara bersama Yayasan Sabah pada bulan April, 1996. Laporan lengkap kajian ini telah diserahkan kepada pihak Yayasan Sabah pada bulan Ogos berikutnya. Satu edaran kepada berbagai pihak telah juga dibuat melalui buletin Pusat Racun Negara (PenawaRacun, Bil. 10, September 1996) Antara lain kajian ini mendapati:

  1. Penentuan tahap pendedahan plumbum menampakkan sebanyak 6.9% daripada sampel darah kanak-kanak yang dianalisa mengandungi plumbum melebihi 10 mikrogram/100 ml berbanding dengan 20.7% antara 5-9.99 mikrogram/100 ml dan 72.4% di antara 0-4.99 mikrogram/100 ml.
  2. Dari segi kawasan berisiko tinggi berasaskan kepada kepekatan 10 mikrogram/100 ml, tiga (3) kawasan iaitu, Ranau, Kota Belud dan Tuaran boleh dikelaskan sebagai kawasan-kawasan berisiko tinggi dan peratus pelajar yang terlibat dalam ketiga-tiga kawasan ini menunjukkan pendedahan kepada plumbum yang lebih tinggi berbanding dengan kawasan-kawasan lain. Tadika yang terlibat dalam kawasan-kawasan ini juga telah dikenalpasti. Kepekatan tertinggi dikesan dalam kawasan ini adalah 18.83 mikrogram/100ml.
  3. Sebagai kesimpulan yang ketiga tentang populasi kanak-kanak berisiko tinggi, kajian ini menunjukkan bahawa peringkat umur mempengaruhi risiko pendedahan plumbum, malah kanak-kanak dalam usia enam (6) tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan peringkat umur yang lebih awal.

Semasa upacara penyerahan laporan tersebut beberapa saranan telah diutarakan supaya satu tindakan susulan diadakan secepat mungkin bagi menangani masalah keracunan plumbum yang telah mula dapat dikesan di kawasan Pantai Barat Sabah melalui kajian tersebut. Dalam hal ini, satu perbincangan telah diadakan di Yayasan Sabah di antara pihak Pusat Perkembangan Kanak-Kanak dan juga Pusat Kajian Borneo bersama Pusat Racun Negara untuk merangka sebuah bengkel susulan seperti yang telah dinyatakan di atas.

Bengkel tiga hari tersebut memuatkan tujuh (7) pembentangan kertaskerja yang melibatkan berbagai agensi-agensi berikut:

  • Kementerian Kesihatan Negeri Sabah
  • Jabatan Alam Sekitar
  • Pusat Kajian Borneo
  • Pusat Racun Negara
  • Pusat Perkembangan Kanak-Kanak

Ini diikuti dengan bengkel perbincangan untuk merencana satu pelan tindakan dan resolusi yang perlu di ambil.

Kertaskerja pertama"Kedudukan Umum Keracunan di Negeri Sabah" telah dibentangkan oleh Puan Norlida Md Darus daripada Bahagian Kawalan Makanan, Kementerian Kesihatan Negeri Sabah.

Kertaskerjanya meliputi kes-kes keracunan umum daripada tahun 1993 hingga 1995 dan juga kes-kes keracunan makanan dari 1993 hingga 1996 (Oktober). Pada umumnya kes-kes keracunan yang telah dilaporkan menunjukkan sebahagian besarnya berpunca daripada kejadian keracunan tidak sengaja (accidental) dan juga kejadian bagi membunuh diri (suicidal). Bahan racun yang agak menonjol melibatkan paraquat, sejenis racun mahkluk perosak yang sering digunakan sebagai racun rumpai. Bagi keracunan makanan pula, satu kecenderungan peningkatan telah ditunjukkan bermula daripada 97 kes dalam tahun 1992 hingga 674 kes dalam bulan Oktober 1996. Ini adalah sejajar dengan trend yang diperhatikan di seluruh negara. Namun demikian, pada keseluruhannya kes-kes yang dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Negeri Sabah sukar untuk memberikan gambaran sebenarnya memandangkan laporan-laporan yang diterima tidak menyeluruh ataupun tidak lengkap.

Kertaskerja kedua yang telah disampaikan oleh En. Mohd Sayuti Sepeai bertajuk "Pencemaran Alam Sekitar: Status Semasa dan Pengurusannya". Beliau adalah Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Negeri Sabah.

Kertaskerjanya memberi huraian tentang keadaan alam sekitar semasa, corak kegiatan ekonomi yang berkaitan dengan penggunaan tanah yang boleh mempengaruhi alam sekitar termasuk kualiti udara, air daratan dan marin. Beliau juga menyentuh isu-isu alam sekitar semasa dan langkah pengurusan yang perlu dilaksanakan sebagai tindakan tambahan. Pada keseluruhannya status alam sekitar semasa menunjukkan halangan kepada pembaikan alam sekitar secara menyeluruh memandangkan kekurangan usaha sebahagian sektor ekonomi untuk mengurangkan masalah tersebut. Masalah pelupusan buangan daripada aktiviti penternakan, pencemaran perairan daratan oleh pepejal terampai ataupun perairan marin oleh minyak dan gris, maupun keadaan berhabuk di kawasan bandar merupakan di antara masalah yang masih perlu diatasi.

Kertaskerja ketiga"Amalan-amalan Masyarakat Setempat Berkaitan dengan Aspek Keracunan: Satu Perhatian" disampaikan oleh Puan Zahra Yaacob, Pengurus Jabatan Pendidikan, Pusat Kajian Borneo.

Dalam kertaskerja tersebut beliau cuba menghubungkan beberapa aspek alam sekitar biofizis, manusia dan sumber alam sebagai satu perhatian yang berkaitan dengan amalan-amalan masyarakat setempat yang boleh membawa kepada keracunan. Beliau menyentuh tentang pengurusan alam sekitar dan amalan penduduk setempat termasuk juga tahap kesedaran tentang taraf kesihatan semasa. Ini termasuk aspek-aspek kebersihan di rumah khususnya di dapur dan juga hal-hal yang berkaitan dengan pemakanan dan penggunaan bahan-bahan kimia dalam kehidupan seharian. Walaupun beberapa hubungkait dapat diperhatikan namun pendidikan mendalam tentang proses keracunan ke atas manusia masih sangat berkurangan. Dalam hal ini, beliau mencadangkan satu usaha untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya kesihatan termasuk kempen dan rancangan pendidikan untuk dimulakan di peringkat sekolah.

Kertaskerja keempat yang disampaikan oleh En. Razak Lajis dari Pusat Racun Negara bertajuk "Plumbum dan Implikasi Keracunan Plumbum". Encik Razak adalah salah seorang penyelidik dalam kajian di Sabah. Dalam kertaskerjanya, beliau membincangkan dengan panjang lebar tentang keracunan plumbum serta implikasinya terhadap masyarakat umum khususnya kanak-kanak sekolah. Kaitan paras plumbum dalam tubuh dengan kesihatan juga diberi penekanan, termasuk langkah-langkah yang boleh diambil.

Kertaskerja kelima bertajuk "Kajian Keracunan Plumbum Terhadap Kanak-Kanak Prasekolah" telah disampaikan oleh Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim dari Pusat Racun Negara. Beliau juga turut terlibat dengan kajian berkenaan. Beliau memberi penerangan tentang selok-belok kajian yang telah dijalankan: misalnya bagaimana kawasan kajian dipilih, pensampelan serta analisis darah dijalankan, serta juga tentang prinsip-prinsip asas telah rekabentuk kajian tersebut. Ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada para perserta supaya penemuan kajian dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan.

Kertaskerja keenam yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr Mohd. Isa Abdul Majid dari Pusat Racun Negara bertajuk "Saranan dan Kajian Susulan". Dr. Mohd. Isa juga salah seorang penyelidik yang terlibat dalam kajian ini. Kertaskerja ini bertujuan untuk menyampaikan cadangan bagi pihak Pusat Racun Negara sebagai tindakan susulan yang perlu diambil selanjutnya. Di antara cadangan yang dikemukakan adalah untuk mengadakan bengkel untuk membincangkan penemuan kajian tersebut antara beberapa agensi yang terlibat, membuat susulan kepada kawasan yang berisiko tinggi dan juga melakukan kajian lanjut di kawasan-kawasan lain di negeri Sabah.

Kertaskerja ketujuh yang bertajuk "Keracunan Plumbum: Isu dan Masalah" telah disampaikan oleh Puan Theresa Maria De Souza. Beliau merupakan Ketua, Jabatan Penyelidikan dan Perancangan di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Yayasan Sabah. Dalam kertaskerjanya penceramah berkongsi pengalaman tentang apa yang berlaku semasa dan selepas kajian dijalankan khususnya timbal balik daripada pihak ibubapa dan juga guru. Pengalaman ini amat berguna untuk tujuan merangka susulan yang dimaksudkan.

Pada keseluruhannya pembentangan kertas-kertaskerja tersebut telah dapat memberi gambaran yang lebih jelas tentang kedudukan berkaitan dengan keracunan di Sabah amnya dan berkaitan dengan keracunan plumbum khasnya. Sesi-sesi yang telah diadakan telah dapat mewujudkan satu sikap yang lebih terbuka tentang apa yang sedang berlaku di samping mencari penyelesaian yang sesuai untuk mengatasinya.

Untuk tujuan ini, para peserta telah dibahagi-bahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap kumpulan telah diminta membincangkan beberapa program serta usul untuk pertimbangan selanjutnya.

Berikut adalah rumusan ringkas bengkel secara menyeluruh. Pertama adalah resolusi umumnya yang perlu diambil-kira, dan kedua adalah pelan tindakan yang difikirkan wajar dilaksanakan.

Resolusi bengkel meliputi empat perkara utama:

  1. menjalankan aktiviti pendidikan (termasuk penerangan) tentang masalah keracunan plumbum dalam konteks penjagaan kesihatan yang baik,
  2. menjalankan aktiviti pencegahan untuk membendung masalah ini menjadi lebih serius,
  3. mengambil tindakan segera (dalam tempoh 6 - 12 bulan) untuk menangani keadaan di kawasan yang berisiko tinggi khasnya, dan kawasan lain amnya, dan
  4. menimbangkan kajian-kajian lanjutan lain dalam usaha memahami masalah pendedahan keracunan plumbum dengan lebih mendalam lagi.

Berasaskan kepada empat resolusi ini, berbagai aktiviti jangka pendek dan panjang telah dicadangkan sebagai pelan tindakan. Ini mencakupi aspek pendidikan asas, pencegahan, tindakan susulan segera dan kajian-kajian lanjutan.

Pada keseluruhannya lebih daripada 30 aktiviti telah disarankan untuk pelbagai agensi yang berkaitan. Laporan ini akan diedarkan kepada pihak berkuasa unguk pertimbangan dan tindakan bersama.

Senarai semakan tentang kemungkinan sumber-sumber plumbum di persekitaran anda:

  • tanah-tanah tercemar plumbum
  • habuk mengandungi plumbum di dalam air, udara dan makanan
  • air yang dimasak atau disimpan untuk jangkamasa berlebihan dalam cerek yang mengandungi bahan pateri berplumbum
  • menyimpan buah-buahan, terutama yang berasid dalam bekas berplumbum
  • asap ekzos daripada penggunaan minyak berplumbum
  • bahan kosmetik mengandungi plumbum
  • bahan ubat-ubatan tradisional yang mengandungi plumbum
  • kemudahan pencair logam dan "lead-recycling"
  • pembakaran kayu bercat, surat khabar dan bateri lama yang melibatkan plumbum
  • pensil warna dan cat warna yang mengandungi plumbum
  • pinggan mangkuk dan pasu bunga yang bercat kilat (glazed), dan
  • alkohol yang dihasilkan di tempat haram